Mohd Hafizee Mohd Arop

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas 791.97 tan metrik (791, 970 kilogram) baja padi dianggarkan bernilai RM1.35 juta dipercayai diseleweng di sebuah premis di Taman Pelangi, Parit Buntar, hari ini.

Serbuan bermula 9 pagi bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu turut mendapati premis itu tidak mempunyai lesen pemborong.

Difahamkan, baja yang dirampas di gudang berkenaan dibekalkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menerusi kontrak kerajaan menerusi Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP).

Ketua Unit Integriti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Nur Syahidah Chia Abdullah, berkata premis berkenaan dipercayai sudah beroperasi selama lebih tujuh tahun dan hasil risikan dijalankan berjaya mengenalpasti kegiatan penyelewengan itu.

“Selepas enam bulan membuat pemerhatian bersama (SPRM, MOA dan KPDNHEP), kami berjaya mengenalpasti sasaran dan menetapkan tarikh (hari ini) untuk membuat serbuan dengan kerjasama keseluruhan seramai 30 anggota.

“Pemilik premis ini adalah lelaki berusia 49 tahun dan siasatan seterusnya akan dijalankan bagi mengetahui punca ketirisan subsidi kerajaan itu,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan.

SPRM merampas 791.97 tan metrik (791, 970 kilogram) baja padi dianggarkan bernilai RM1.35 juta yang dipercayai diseleweng di sebuah premis di Taman Pelangi, Parit Buntar, hari ini. Serbuan turut disertai MOA dan KPDNHEP. FOTO L Manimaran.
SPRM merampas 791.97 tan metrik (791, 970 kilogram) baja padi dianggarkan bernilai RM1.35 juta yang dipercayai diseleweng di sebuah premis di Taman Pelangi, Parit Buntar, hari ini. Serbuan turut disertai MOA dan KPDNHEP. FOTO L Manimaran.

Nur Syahidah berkata, operasi dijalankan bersama SPRM dan KPDNHEP itu adalah yang ketiga selepas kejayaan dua operasi di Johor dan Kedah pada Julai lalu.

Sementara itu, sumber SPRM mengesahkan suspek yang juga pemilik premis itu ditahan kerana cuba memberikan suapan kepada anggota penguatkuasa ketika serbuan dijalankan.

“Suspek berusia 49 tahun cuba memberikan rasuah sebanyak RM30,000 kepada anggota penguatkuasa dan SPRM sudah menahannya mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

“Suspek akan dibawa ke Pejabat SPRM Perak di Ipoh untuk siasatan selanjutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 4:48 PM