AHLI perniagaan, Lee Soon Teck 50, (kiri) diiringi pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas didakwa atas pertuduhan menjual barang kawalan iaitu baja secara borong tanpa lesen yang sah di Parit Buntar, Oktober tahun lalu di Mahkamah Sesyen, Taiping. FOTO Abdullah Yusof
AHLI perniagaan, Lee Soon Teck 50, (kiri) diiringi pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas didakwa atas pertuduhan menjual barang kawalan iaitu baja secara borong tanpa lesen yang sah di Parit Buntar, Oktober tahun lalu di Mahkamah Sesyen, Taiping. FOTO Abdullah Yusof
Mohd Hafizee Mohd Arop


AHLI perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di Taiping hari atas pertuduhan menjual barang kawalan iaitu baja secara borong tanpa lesen yang sah di Parit Buntar, Oktober tahun lalu.

Lee Soon Teck, 50, yang juga Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Che Noralashiken Abd Razak.

Dia didakwa sebagai pemilik Perniagaan Guan Choon memiliki barang kawalan iaitu baja seberat 559,400 kilogram dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah untuk melakukan kesalahan melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan berurusan secara borong tanpa lesen.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di premis Guan Choon, Lot 930, Batu 6, Jalan Baharu, Parit Buntar, 10.30 pagi, 8 Oktober 2018.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Heikal Ismail manakala OKS diwakili peguam Kailashii Vasudevan Appu.

Che Noralashiken kemudiannya menetapkan 23 Mei ini untuk pengurusan kes.

Media pada 8 Oktober tahun lalu melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya merampas baja padi dianggarkan bernilai RM1.35 juta yang dipercayai diseleweng di premis di Parit Buntar.

Serbuan bermula 9 pagi bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu turut mendapati premis itu tidak mempunyai lesen pemborong.

Difahamkan, baja yang dirampas di gudang premis berkenaan dibekalkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menerusi kontrak kerajaan menerusi Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 11:28 AM