Zuliaty Zulkiffli


SEBANYAK 2,644 beg guni baja urea dan baja sebatian bersubsidi bernilai RM145,745 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam.

Ia hasil serbuan berasingan di Sanglang dan Kampung Kuala Kerpan, Air Hitam, Bukit Kayu Hitam.

Semua baja berkenaan ditemui dalam serbuan serentak KPDNHEP Putrajaya dan cawangan Kubang Pasu masing-masing berhampiran kawasan kediaman.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Kedah, Omar Ismail berkata, serbuan di Sanglang, Air Hitam menemui 495 beg baja sebatian dengan berat 25 kilogram (kg), 442 beg baja sebatian (20kg ) dan 598 beg baja urea (20 kg) dengan jumlah keseluruhan 1,535 beg.

“Dalam serbuan kedua, kami menemui 84 guni baja urea (20 kg), 304 guni baja sebastian (20 kg) dan 721 guni baja sebastian (25 kg) dengan jumlah keseluruhan 1,109.

“Jumlah kedua-dua rampasan itu dianggarkan RM145,745 dan wanita 50-an serta lelaki 30-an diambil keterangan untuk membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di stor penyimpanan barangan rampasan hari ini.

Dalam pada itu, Omar berkata, serbuan di lokasi kedua itu pernah dilakukan sebelum ini oleh Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) kerana melakukan kegiatan sama.

Omar menunjukkan baja subsidi yang dirampas di dua lokasi berasingan semalam. FOTO Shahrizal Md Noor
Omar menunjukkan baja subsidi yang dirampas di dua lokasi berasingan semalam. FOTO Shahrizal Md Noor

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti dari mana mereka memperoleh bekalan ini.

“Saya nasihatkan pihak tertentu tidak menyalahgunakan baja bersubsidi ini kerana ia diberi kerajaan secara percuma untuk meningkatkan penyuburan tanaman padi, bukannya untuk diseleweng.

“Jika berlaku penyelewengan, sudah tentu sumber pendapatan petani akan terjejas dan berlaku pecah amanah,” katanya.

Katanya, kedua-dua kes itu akan disiasat mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusniaga barang kawalan berjadual tanpa lesen borong.

“Kesalahan bagi individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya manakala kesalahan bagi syarikat pula adalah tidak melebihi RM2 juta dan tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan seterusnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 7:19 PM