GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Rizal Addullah


AKIBAT gagal mengawal emosi, seorang pemilik rumah ditahan polis selepas tiba-tiba mengamuk dengan senjata tajam di sebuah rumah di Pujut Padang Kerbau, di Miri, malam kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 10 malam itu, lelaki berusia 30-an terbabit mengamuk berikutan penyewa rumahnya gagal menjelaskan sewa yang tertunggak selama setahun.

Menurut sumber, suspek bengang ketika membangkitkan hal itu dan berlaku pertengkaran antaranya dengan penyewa sebelum suspek bertindak mengeluarkan senjata tajam.

Sumber itu berkata, kejadian mengakibatkan kekecohan di kawasan rumah berkenaan.

“Situasi semakin tegang memaksa penduduk memanggil polis dan suspek kemudiannya ditahan serta dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut,” katanya, hari ini.

Katanya, siasatan mendapati punca kejadian disebabkan suspek bengang apabila penyewa rumahnya tidak membayar sewa dan emosinya gagal dikawal apabila penyewanya memberikan pelbagai alasan.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 1:18 PM