SUSPEK curi kereta ditahan polis ketika berada di atas bumbung sebuah rumah di Miri.
SUSPEK curi kereta ditahan polis ketika berada di atas bumbung sebuah rumah di Miri.
Mohd Rizal Abdullah


Miri: Akibat panik dikejar polis, seorang lelaki yang memandu sebuah pacuan empat roda curi merempuh dua kenderaan lain sebelum memanjat bumbung sebuah rumah di Pujut, di sini, kelmarin, dalam usaha melarikan diri.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 4 petang, tindakan suspek berusia 36 tahun itu sia-sia apabila dicekup sepasukan anggota peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Khoo Leng Huat berkata, polis yang menyedari kehadiran sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki di Lutong membuat semakan sebelum mendapati kereta dipandu suspek adalah kenderaan yang dilaporkan hilang.

Menurutnya, rekod menunjukkan kenderaan itu hilang di sebuah rumah di Desa Pujut Selasa lalu sebelum polis mengekori suspek.

“Suspek yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri. Akibat terdesak, suspek memecut kenderaan sehingga merempuh lori dan sebuah kereta ketika berada di Jambatan Lutong, di sini.

“Bagaimanapun, kenderaannya terbabas ketika di Pujut. Suspek meninggalkan kenderaan itu lalu melarikan diri ke kawasan perumahan dan memanjat bumbung sebuah rumah bagi mengelak ditahan,” katanya ketika dihubungi.

Khoo berkata, tindakan suspek tidak bertahan lama apabila anggota polis turut memanjat bumbung rumah itu dan menahannya.

“Suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri, di sini, untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 5:42 AM