GANJA yang ditemui dalam beg.
GANJA yang ditemui dalam beg.
Mohd Rizal Abdullah

Miri: Polis menemui satu kilogram ganja dianggarkan bernilai RM12,000 disorokkan dalam almari pakaian di sebuah rumah di Desa Pujut, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 3 petang itu, polis menahan seorang lelaki dipercayai pengedar dadah berusia 20 tahun selepas risikan dan pemantauan terhadap aktiviti haram dijalankannya.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, dalam serbuan itu, polis menemui ganja mampat diletakkan di dalam beg galas sebelum disorokkan di dalam almari pakaian di rumah berkenaan.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan ganja berkenaan akan dijual di pasaran tempatan dan suspek menjadikan penagih tempatan sebagai pelanggan utama.

“Serbuan dijalankan hasil risikan polis berhubung kegiatan penjualan dadah dipercayai didalangi suspek sejak beberapa bulan lalu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, sebuah kereta Proton Saga bernilai RM30,000 milik suspek turut disita.

“Polis juga giat mengesan individu yang membekalkan dadah berkenaan kepada suspek,” katanya.

Katanya, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 4:41 AM