Mohd Hafizee Mohd Arop


JAWATANKUASA bebas ditubuhkan Kabinet bagi menyelaras secara menyeluruh dasar dan pengurusan pekerja asing akan menjalankan tugas bermula minggu kedua Oktober ini.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, jawatankuasa bebas itu diketuai bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Hishamuddin Yunus.

"Jawatankuasa bebas ini akan membuat cadangan kepada kerajaan selepas mendapatkan pandangan daripada semua pihak di setiap negeri agar ada satu keputusan holistik (berkenaan isu pekerja asing).

"Dasar kerajaan yang ada sekarang adalah secara ad hoc (sementara), jadi jawatankuasa ini akan memberikan cadangan kepada kerajaan selepas mendapatkan pandangan dari seluruh negara bermula Kangar (Perlis) hingga Sabah," katanya.

Kulasegaran berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Pesta Ria Amal 2018 di Sekolah Semangat Maju, Kampung Tawas, Ipoh, hari ini.

Mengenai isu pekerja asing, Kulasegaran berkata, kerajaan ketika ini sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa negara untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi membolehkan pekerja asing dibawa masuk secara sah di negara ini.

"Jumaat lalu saya baru habis perbincangan (mengenai MoU) dengan kerajaan Nepal, jadi sekarang hanya tunggu tandatangan sama ada di Kathmandu atau di Kuala Lumpur sebelum diteruskan dengan Indonesia, Bangladesh dan India.

"Semua perjanjian sebelum ini sudah tamat tempoh kecuali dengan Sri Lanka, jadi walaupun kita ada hasrat untuk menandatanganinya namun ada beberapa sekatan yang perlu mendapatkan penyelesaian terlebih dahulu," katanya.

Kulasegaran berkata, antara permasalahan yang perlu diselesaikan adalah berkaitan isu gaji serta perlindungan terhadap pekerja asing yang bekerja di sini terutamanya sebagai pembantu rumah dan kesemua perkara ini akan diteliti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 9:36 PM