Junita Mat Rasid


TIADA apa yang diharapkan Rozita Faiman kecuali suaminya yang lumpuh tanpa sebahagian tempurung kepala pulih semula dan dapat bergelak ketawa dengan anak mereka berusia 16 bulan.

Syamaizar Mohamad Yahya, 35, kini hanya mampu terbaring selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Batang Kali, Selangor pada 19 Ogos 2016 ketika bertugas di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Kubu Baru.

Rozita, 30, berkata kejadian belaku ketika dia sedang mengandung anak pertama mereka dan kini suaminya hanya boleh melihat cahaya mata mereka, Dhia Nur Iriesya Airis tanpa boleh memegang atau mendukungnya.

Bagaimanapun, Rozita tetap positif dengan perkembangan suaminya dan berharap dia akan pulih dan mereka sekeluarga dapat hidup seperti biasa.

“Alhamdulillah setakat ini keadaan ingatan dia ok (baik), boleh cakap dan respons (maklum balas) kita, cuma pergerakan dia masih belum lagi, kena buat fisioterapi.

“Dia boleh bercakap tapi tak macam kita, tidak lancar. Dia cakap sepatah sepatah tapi kita faham, jelas dia cakap,” katanya selepas menerima kunjungan Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid yang turut menyampaikan sumbangan di Kampung Sawah, Pekan Nanas, Pontian, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JPJ Johor Razali Wagiman dan Pengarah JPJ Selangor Nazli Zawawi Zakaria.

Rozita berkata, dia hanya bergantung kepada bantuan zakat sebanyak RM400 sebulan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, selain pencen suaminya RM440 bermula 4 Ogos lalu.

Katanya, sebelum ini suaminya masih diberi gaji bulanan sebanyak RM1,700 tetapi kini bergantung kepada pencen selepas diberi kelulusan persaraan atas faktor kesihatan.

“Alhamdulillah ada bantuan zakat dan JKM, selain JPJ juga ada datang bantu. Kos bulanan untuk kesihatan mencecah RM3,000 juga, saya tampung dengan duit yang ada sikit,” katanya.

Menurutnya, suaminya perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Sultan Aminah (HSA), Johor Bahru setiap dua atau tiga bulan sekali, selain rawatan di klinik kesihatan setiap dua minggu.

Katanya, kos sewa ambulans untuk menerima rawatan di HSA sahaja mencecah RM400 tetapi semua itu dibuat demi memastikan keadaan suaminya bertambah baik.

“Doktor memaklumkan tempurung kepala suaminya akan diganti semula jika keadaan kesihatan terutama pergerakan badannya semakin baik.

“Suami hanya minum susu sahaja kerana makanan langsung tidak boleh dan satu tin susu untuk dua hari, malah ada juga bagi dia minum air kosong.

“Saya juga bersyukur menerima bantuan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membiayai kos pembelian susu yang menjadi satu-satunya makanan untuk suami,” katanay.

Sementara itu, Shaharuddin berkata, Syamaizar yang bertugas sebagai Pemeriksa Kereta Motor Gred AB29 di JPJ Cawangan Kuala Kubu Baru mula berkhidmat sejak 23 November 2008.

Katanya, kelulusan persaraan diberikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bermula 4 Ogos lalu berikutan keadaan kesihatannya selepas disahkan mengalami hilang upaya kekal.

“Syamaizar memerlukan bantuan untuk menanggung kos perubatan yang tinggi dan pihaknya akan melancarkan tabung bagi membantunya, selain untuk anggota lain yang memerlukan bantuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 7:25 PM
SHAHARUDDIN (tengah) bertanya kepada Rozita mengenai keadaan suaminya ketika mengunjungi keluarga itu di Kampung Sawah, Pekan Nanas, Pontian, hari ini. FOTO Zain Ahmed
SHAHARUDDIN (tengah) bertanya kepada Rozita mengenai keadaan suaminya ketika mengunjungi keluarga itu di Kampung Sawah, Pekan Nanas, Pontian, hari ini. FOTO Zain Ahmed