ROZITA menujukkan gambar Muhammad Azri Danial Hasbullah ketika mendapatkan rawatan sebelum berada dalam keadaan separuh sedar akibat  penyakit buah pinggang kronik tahap lima. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
ROZITA menujukkan gambar Muhammad Azri Danial Hasbullah ketika mendapatkan rawatan sebelum berada dalam keadaan separuh sedar akibat penyakit buah pinggang kronik tahap lima. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Wanita buntu memikirkan kos rawatan anaknya yang kini bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, akibat penyakit buah pinggang kronik tahap lima sejak awal bulan lalu.

Rozita Ramli, 43, berkata, anak ketiga daripada empat beradik, Muhammad Azri Danial Hasbullah, 17, berada dalam keadaan separuh sedar sejak beberapa minggu lalu berikutan keadaan kesihatannya semakin merosot.

Katanya, dia juga mengalami masalah kesihatan selain pendapatan suami, Hasbullah Mohamad, 52, yang berniaga pasar malam terjejas sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Keadaan Muhammad Azri Danial agak lemah dan doktor memaklumkan terdapat jangkitan kuman di bahagian paru-parunya menyebabkan dia perlu bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

"Saya begitu sedih melihat keadaan anak, dan hanya panggilan video menjadi penghubung untuk bertanya khabar serta memberi semangat agar dia terus kuat melawan sakit yang dihidapi," katanya.

Rozita berkata, sebelum ini anaknya sering mengalami sesak nafas dan kekejangan, namun cuba menyembunyikan keadaan itu kerana tidak mahu membebankan keluarga.

"Bagaimanapun, kesihatan anak saya semakin merosot pada awal bulan lalu dan disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik selain perlu menjalani rawatan dialisis seumur hidup.

"Dua tahun lalu, anak sulung saya, Muhammad Asyraf meninggal dunia disebabkan penyakit buah pinggang dan saya tidak mahu perkara yang sama berlaku kepada Muhammad Azri Danial kerana tidak sanggup lagi kehilangan anak buat kali kedua.

"Saya akan berusaha mencari wang untuk mengubati penyakit anak saya dan tidak sanggup melihat dia terus menanggung derita," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada keluarga ini boleh menghubungi Rozita di talian 011-17912609.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 5:12 PM