KETUA Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Negeri Islam Johor (JAINJ), Alina Wong Abdullah (kiri) bersama Rabi’ahtuladawyah Md Saleh (kanan) melawat keadaan Imran Liu Chee Meng Abdullah di KPJ Johor, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini
KETUA Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Negeri Islam Johor (JAINJ), Alina Wong Abdullah (kiri) bersama Rabi’ahtuladawyah Md Saleh (kanan) melawat keadaan Imran Liu Chee Meng Abdullah di KPJ Johor, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Izlaily Nurul Ain Hussein


“SUAMI perlu terus berada di hospital bagi mendapatkan rawatan dan pemantauan sehingga keadaannya stabil sebelum tempurung kepalanya yang sebelum ini dibuka untuk pembedahan membuang darah beku di otaknya dapat dipasang semula.

"Namun, saya akui kos rawatan dan bil hospital akan terus meningkat menyebabkan saya terpaksa mendapatkan bantuan dan sumbangan orang ramai bagi meringankan beban," kata Rabi'ahtuladawyah Md Saleh, isteri kepada seorang mualaf yang kini terlantar di hospital selepas terbabit dalam kemalangan bulan lalu.

Rabi'ahtuladawyah, 41, berkata, dia menjangkakan kos rawatan suaminya, Imran Liu Chee Meng Abdullah, 46, akan mencecah lebih RM100,000.

Imran yang bekerja di Singapura parah di kepala dan otak apabila motosikal ditunggangnya melanggar timbunan tanah di bahu jalan Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Persisir Pantai berhampiran Horizon Hills, Iskandar Puteri, ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, kira-kira 5 pagi, 18 Disember 2017.

Menurut Rabi'ahtuladawyah, suaminya sebelum ini dirujuk di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, sejurus kemalangan itu dan menjalani pembedahan membuang darah beku di otaknya yang menyebabkan tempurung kepalanya perlu dibuka.

"Selepas 19 hari di HSA, suami masih koma dan keadaannya tidak stabil, maka kami bercadang merujuknya ke Hospital Pakar KPJ Johor untuk rawatan susulan pada 5 Januari lalu kerana memikirkan suami mempunyai perlindungan insurans.

"Di KPJ, suami perlu menjalani rawatan dan pemantauan bagi menstabilkan keadaannya supaya dapat dirujuk kembali ke HSA untuk memasang semula tempurung kepalanya yang kini di simpan di sana (HSA)," katanya ketika ditemui di Hospital KPJ Pakar Johor, Johor Bahru, hari ini.

Memandangkan perlindungan insurans tidak cukup menampung semua bil hospitalnya, Rabi'ahtuladawyah yang juga seorang Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengambil inisiatif melancarkan Tabung Prihatin Imran Liu khas bagi mengumpulkan dana meringankan beban kos rawatan suaminya.

Katanya, selepas seminggu, dia terkejut apabila menerima sumbangan orang ramai termasuk bantuan saudara-mara yang mencecah jumlah terkumpul RM50,000.

"Saya benar-benar tidak menyangka sumbangan diterima daripada orang yang tidak saya kenali begitu banyak. Saya amat berterima kasih kepada mereka yang membantu meringankan beban saya.

"Tetapi, memandangkan suami masih dirawat di High Dependency Unit (HDU) dan tiada tempoh yang boleh dijanjikan pihak hospital selama mana rawatan perlu dibuat, maka saya tahu bil hospital akan lebih bertambah.

"Itu pun, saya cuba untuk membeli alatan perubatan dari luar untuk digunakan di hospital bagi mengurangkan bil hospital.

"Saya juga perlu memikirkan kos penjagaannya yang mana perlu mendapatkan khidmat pusat penjagaan swasta sekiranya dia sudah dibenarkan keluar dari hospital" katanya.

Bagaimanapun, ibu kepada tiga anak berusia antara sembilan bulan hingga 14 tahun itu melahirkan rasa syukur apabila Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) menerusi Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) ada menghubunginya untuk menghulurkan bantuan.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAINJ, Alina Wong Abdullah, pihaknya yang turut menjaga hal ehwal kebajikan saudara baru mengambil keputusan membantu keperluan Imran yang kini memakai lampin pakai buang, susu khas serta mesin sokongan otot.

"Kita sudah mula menyalurkan bantuan lampin pakai buang dan susu khas selagi mana pesakit masih memerlukan. Kita juga sudah berbincang untuk membantu dari segi ubat-ubatan mengikut kepada nasihat doktor.

"Malah, kita juga akan membantu dari segi kos sara hidup keluarga ini memandangkan mereka mempunyai tiga anak yang masih kecil," katanya ketika hadir melawat Imran di HDU, Hospital KPJ Johor, hari ini.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank Rabi'ahtuladawyah, 151016068981 atau menghubunginya di talian 014-2216093.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 3:53 PM