SHAHARUDDIN (dua kanan) bertanya sesuatu kepada Rozita Faiman (kiri) ketika melawat Syamaizar sebelum menyerahkan surat kelulusan persaraan dan sumbangan di Kampung Sawah, Pekan Nanas, Pontian, hari ini. FOTO Zain Ahmed
SHAHARUDDIN (dua kanan) bertanya sesuatu kepada Rozita Faiman (kiri) ketika melawat Syamaizar sebelum menyerahkan surat kelulusan persaraan dan sumbangan di Kampung Sawah, Pekan Nanas, Pontian, hari ini. FOTO Zain Ahmed
Junita Mat Rasid


JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji semula mekanisme pengeluaran lesen memandu susulan pembongkaran sindiket pengeluaran lesen tanpa mengikut prosedur sah, baru-baru ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, kajian awal pihaknya mendapati ada usaha memanipulasi sistem komputer JPJ menyebabkan lesen didakwa diperoleh secara sah, tetapi sebenarnya ia tidak sah dan mengakui ia dilakukan oleh orang dalam dan pihak luar.

“Apa yang kita sedang buat, JPJ ambil langkah untuk memastikan perkara itu tidak berulang dan cuba mengetatkan sistem dan prosedur membuat lesen di peringkat ibu pejabat.

“Lanjutan isu ini, kita sudah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji semula mekanisme pengeluaran lesen termasuk dalam negeri dan luar negara.

“Menerusi jawatankuasa itu juga, kita meminta sesiapa yang ada lesen yang diperoleh secara demikian (tidak sah) supaya memulangkannya semula. Kita mempunyai statistik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat anggota JPJ Syamaizar Mohamad Yahya yang kehilangan sebahagian tempurung kepala akibat kemalangan jalan raya di Kampung Sawah, Pekan Nanas, Pontian, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JPJ Johor Razali Wagiman dan Pengarah JPJ Selangor Nazli Zawawi Zakaria.

Shaharuddin mengakui ada yang sudah menyerahkan lesen yang diperoleh tanpa mengikut prosedur yang sah, tetapi tidak mempunyai statistik terkini.

Beliau tidak menolak kemungkinan ramai yang tidak menyerahkan lesen terbabit kerana keliru dengan status lesen berkenaan.

“Bukan sambutan dingin, mungkin ramai yang tidak pasti sama ada lesen itu sah atau tidak (tetapi) kita ada senarai semua lesen. Mungkin yang pegang lesen ini keliru,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan mengesyaki kira-kira 14,000 ‘lesen terbang’ dikeluarkan sejak dua tahun lalu susulan pembongkaran sindiket pengeluaran lesen tanpa mengikut prosedur sah, baru-baru ini.

Justeru, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook meminta mana-mana pemegang lesen terbang di negara ini menyerahkan lesen mereka kepada Unit Integriti JPJ di seluruh negara dalam tempoh sebulan bermula 12 September lalu.

Selepas tempoh itu, mana-mana pihak yang didapati memegang lesen memandu tanpa mengikut prosedur ditetapkan akan dipanggil temu siasat mengikut Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Jika sabit kesalahan boleh didenda mengikut Seksyen 108 APJ 1987 iaitu hukuman minimum denda RM5,000 atau penjara atau kedua-dua sekali.

Sindiket itu dipercayai menggunakan modus operandi dengan memproses maklumat pemohon menggunakan Prosedur Penukaran Lesen Memandu Luar Negara sedangkan pemohon terbabit tidak pernah berkunjung atau bekerja di luar negara serta tidak memiliki lesen memandu di luar negara.

Lesen memandu luar negara yang sering digunakan sindiket ini untuk prosedur penukaran adalah dari China, Singapura, Brunei dan Jepun dengan mengenakan bayaran antara RM2,000 hingga RM3,500 bagi setiap lesen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 3:14 PM