KEPINGAN kertas yang disyaki tercatat nombor ekor. FOTO Ihsan Polis
KEPINGAN kertas yang disyaki tercatat nombor ekor. FOTO Ihsan Polis
Siti Rohana Idris

HASIL intipan polis selama dua jam di sebuah kedai ubat di Jalan Pintu Pong di Kota Bharu, semalam membongkar aktiviti penjualan nombor tanpa lesen di premis berkenaan.

Susulan itu, sepasukan anggota Taskforce dari Balai Polis Kota Bharu melakukan serbuan pada 2 petang, hari sama.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, ketika serbuan, seorang wanita berusia 53 tahun yang juga pemilik kedai ubat terbabit ditahan.

“Ketika risikan dibuat, wanita itu berada di dalam kedai disyaki menjual nombor ekor atau loteri awam tanpa lesen.

“Pemeriksaan di atas meja menjumpai beberapa kertas yang tercatat angka dipercayai nombor loteri awam," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Ismail berkata hasil soal siasat, suspek mengaku menjadi ejen nombor ekor yang beroperasi secara haram, sejak setahun lalu.

“Pelanggan yang mahu bermain judi dan membeli nombor ekor perlu membayar sejumlah wang serendah RM1.

“Seterusnya suspek akan memberi resit sebagai bukti pembelian dan sekiranya menang, wang kemenangan akan dimasukkan ke akaun atau diberikan secara terus," katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

“Kita juga akan menjalankan operasi dari semasa ke semasa dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti perjudian di negeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 11:32 AM