ANTARA peralatan mencetak nombor 4D dan 'wahui' serta sejumlah wang yang digunakan dalam kegiatan judi haram dirampas dalam dua serbuan di sekitar Tuaran. FOTO Recqueal Raimi
ANTARA peralatan mencetak nombor 4D dan 'wahui' serta sejumlah wang yang digunakan dalam kegiatan judi haram dirampas dalam dua serbuan di sekitar Tuaran. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi


TIGA penjaga premis termasuk dua wanita ditahan selepas disyaki menjalankan operasi judi haram di dua lokasi berasingan sekitar pekan Tuaran, kelmarin.

Serbuan pertama dijalankan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, manakala serbuan kedua membabitkan kedai telekomunikasi oleh pasukan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan pemantauan polis berdasarkan maklumat orang awam sejak beberapa hari lalu.

“Hasil serbuan, polis menahan dua wanita tempatan berusia 20-an di lokasi pertama, manakala lelaki tempatan berusia 40-an ditangkap di lokasi kedua.

“Ketiga-tiga individu itu adalah penjaga premis dan dipercayai menjalankan operasi perniagaan judi haram iaitu nombor ekor ‘4D’ dan ‘wahui’,” katanya kepada NSTP.

Dzulbaharin berkata, hasil pemeriksaan turut menemui peralatan mencetak nombor dan sejumlah wang tunai dipercayai digunakan sebagai pertaruhan.

“Tiga suspek dan barang rampasan dirujuk ke IPD Tuaran untuk tindakan lanjut manakala kes disiasat mengikut Seksyen 4A (a) dan Seksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 8:51 AM