Shamsul Kamal Amarudin


DUA peniaga yang ditahan semalam berhubung kes keracunan arak yang mengakibatkan dua mati, direman selama sehari sehingga petang ini.

Majistret Nurul Hafizah Mohd Pauzi membenarkan permohonan polis untuk reman dua lelaki berusia 35 dan 44 tahun itu sehingga 5 petang ini.

Kedua-duanya direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk disiasat mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semalam, polis menahan dua peniaga kedai runcit dan merampas 43 tin serta 24 botol minuman keras berikutan dua lelaki maut, manakala tiga lagi dimasukkan ke hospital selepas meminum minuman keras yang dipercayai dijual oleh dua premis berkenaan.

Dalam serbuan 4 petang di premis di Bercham, polis menahan lelaki berusia 35 tahun serta merampas 24 botol dan 18 tin minuman keras yang terdapat di situ.

Kira-kira dua jam kemudian, seorang lelaki berusia 44 tahun ditahan di Kanthan Bharu, Chemor, manakala 25 tin minuman keras yang dijual di premisnya dirampas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman, dilaporkan berkata, mereka ditahan dalam Op Methanol Perak dengan siasatan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, pula dilaporkan berkata, serbuan dibuat selepas pihaknya menerima laporan polis daripada Pegawai Kesihatan Daerah Kinta pada 1.30 tengah hari berkaitan kes keracunan minuman keras.

Katanya, berdasarkan laporan, setakat semalam, dua lelaki meninggal dunia, dua lagi sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan seorang lagi lelaki menerima rawatan di wad perubatan hospital sama dan kesemua mangsa berusia antara 35 hingga 55 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 12:56 PM
DUA peniaga yang ditahan semalam berhubung kes keracunan arak yang mengakibatkan dua mati, direman selama sehari sehingga petang ini oleh Majistret Ipoh. FOTO Effendy Rashid
DUA peniaga yang ditahan semalam berhubung kes keracunan arak yang mengakibatkan dua mati, direman selama sehari sehingga petang ini oleh Majistret Ipoh. FOTO Effendy Rashid