Motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki GTR1400 yang dinaiki sepasang suami isteri yang menyebabkan pemboncengnya maut kerana terbabas dalam kejadian di Bukit Bunga, di sini, pagi semalam. FOTO IHSAN POLIS
Motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki GTR1400 yang dinaiki sepasang suami isteri yang menyebabkan pemboncengnya maut kerana terbabas dalam kejadian di Bukit Bunga, di sini, pagi semalam. FOTO IHSAN POLIS
Siti Rohana Idris

Tanah Merah: Wanita maut selepas motosikal berkuasa tinggi dinaiki bersama suaminya terbabas dalam kemalangan di Bukit Bunga, di sini, semalam.

Mangsa, Sharipah Saad, 48, yang membonceng motosikal ditunggang suaminya Asmiran Dahari, 50, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jeli, kira-kira 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman berkata, dalam kejadian sekitar 11.30 pagi, suami isteri yang menaiki motosikal Kawasaki GTR1400 dari Pulau Pinang itu dipercayai dalam perjalanan ke Terengganu Bike Week di Kuala Terengganu.

"Apabila sampai di lokasi kejadian dipercayai sebuah kereta yang berada di hadapan motosikal mereka membrek kerana tiba di persimpangan lampu isyarat.

"Tindakan itu menyebabkan penunggang motosikal mengelak ke kiri dan terbabas ke kiri jalan sebelum isterinya terjatuh menyebabkan mukanya tersembam ke atas permukaan jalan.

"Kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Jeli untuk mendapat rawatan dan wanita itu disahkan meninggal dunia di hospitak kira-kira 2.30 petang semalam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, suami mangsa mengalami patah tangan serta cedera di bahagian badan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 1:04 PM