JAM  tangan mewah jenama Rolex bernilai RM35,000 yang berjaya dirampas pihak polis IPD Batu Pahat, Johor.
JAM tangan mewah jenama Rolex bernilai RM35,000 yang berjaya dirampas pihak polis IPD Batu Pahat, Johor.
Mohamed Farid Noh

Batu Pahat: Penjenayah ‘berputih mata’ selepas tidak berjaya melarikan jam tangan jenama mewah, Rolex bernilai RM35,000 dalam kejadian di Taman Kota, Yong Peng dekat sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 8.30 malam, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan pemilik jam tangan terbabit ketika cuba melarikan diri bersama jam berkenaan selepas berpura-pura mahu membelinya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan KS Mender Singh berkata, suspek datang dari Kuala Lumpur bersama rakannya berikutan mahu melihat sendiri jam tangan itu bagi memastikan ketulenannya.

Katanya, mangsa yang juga pemilik jam tangan itu mengiklankan mahu menjual jam Rolex berkenaan di laman jualan dalam talian sebelum dilihat suspek.

“Suspek kemudian membuat temu janji dengan mangsa yang juga pendandan rambut di rumahnya di Taman Kota, Yong Peng, bagi memeriksa ketulenannya dan kononnya berminat membeli jam itu.

“Suspek datang bersama rakannya menaiki Toyota Camry putih, malam kelmarin sebelum berpura-pura membelek jam mewah itu, namun tiba-tiba melarikan diri bersama jam itu.

“Mangsa yang terkejut terus mengejar suspek yang kemudiannya berjaya ditahan tidak jauh dari rumahnya manakala rakan suspek sempat melarikan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di sini, semalam.

Mender Singh berkata, suspek direman empat hari mulai kelmarin dan dijangka disambung reman untuk siasatan lanjut termasuk bagi mengesan rakannya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek memiliki dua rekod kesalahan lampau membabitkan kes curi dan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 11:35 AM