Siti A’isyah Sukaimi dan Noor Atiqah Sulaiman

KERAJAAN bersetuju kadar gaji minimum yang seragam bagi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak ditetapkan sebanyak RM1,050 sebulan dan RM5.05 sejam berkuat kuasa 1 Januari depan.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata, sebelum ini, Perintah Gaji Minimum 2016 memperuntukkan kadar gaji minimum sebanyak RM1,000 sebulan bagi Semenanjung dan RM920 sebulan bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurutnya, seperti diperuntukkan Seksyen 25, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732), Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) sudah selesai membuat kajian semula terhadap Perintah Gaji Minimum 2016 dan syor-syor MPGN juga sudah dibincangkan oleh Jemaah Menteri, hari ini.

Katanya, selepas menimbang syor MPGN daripada pelbagai sudut, kerajaan buat pertama kali bersetuju untuk melaksanakan kadar gaji minimum yang seragam bagi seluruh negara.

Menurutnya, kerajaan juga memutuskan untuk tidak memberikan sebarang subsidi kepada mana-mana majikan kerana kekangan kewangan semasa negara.

“Peningkatan gaji minimum ini adalah selaras dengan situasi ekonomi semasa negara. Kita harus waspada bahawa sebarang peningkatan gaji yang drastik bakal menimbulkan masalah lain kepada industri yang juga boleh menggugat daya saing negara.

“Adalah lebih wajar jika gaji minimum dinaikkan secara berkala dalam tahun-tahun akan datang supaya industri terutamanya majikan kecil, tidak menutup perniagaan mereka akibat kos operasi yang tinggi yang bakal menyebabkan pemberhentian pekerja.

“Majikan dan peniaga juga diseru supaya tidak menaikkan harga barangan dan perkhidmatan susulan kenaikan gaji minimum ini. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dimohon untuk memantau perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, ia adalah satu berita gembira kepada rakyat Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Kontinjen Negara dari Asian Skills Competition di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang, semalam.

Dalam perkembangan lain, Kulasegaran berkata, pencapaian 48 peserta Malaysia yang bertanding itu akan menjadi pemangkin dan semangat bagi meneruskan misi membolot pingat emas di WorldSkills Kazan, Russia pada tahun depan.

“Kementerian Sumber Manusia bersama Kementerian Kerja Raya akan terus mempergiatkan usaha dan melaksanakan pelbagai strategik dalam memastikan Malaysia berjaya memperoleh pingat emas pada pertandingan akan datang.

“Saya amat berbangga dengan komitmen semua yang terbabit menjayakan misi ASC kali ini. Kejayaan ini adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk daripada agensi, industri, pakar dan jurulatih,” katanya.

ASC 2018 yang berlangsung di Bangkok, Thailand itu berjaya membawa pulang 31 pingat iaitu empat emas, satu perak dan lima gangsa serta 21 medal kecemerlangan daripada 24 bidang yang dipertandingkan, sekali gus meletakkan Malaysia di tempat keempat keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 9:10 PM