SARAVANAN menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. FOTO Bernama.
SARAVANAN menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara (JTPGN) akan membentangkan hasil dapatan Kajian Impak dan Kajian Semula Perintah Gaji Minimum (PGM) 2020 kepada Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) Khamis ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan berkata, jawatankuasa itu juga akan mengemukakan syor mengenai kadar dan liputan gaji minimum kepada MPGN.

Beliau berkata, dalam kajian itu, JTPGN mengadakan perundingan awam dan sesi libat urus membabitkan wakil majikan dan pekerja, pertubuhan majikan, kesatuan sekerja dan orang awam bagi mendapatkan input tentang impak pelaksanaan gaji minimum terhadap sosio ekonomi negara.

"MPGN sentiasa menggunakan pendekatan seimbang dengan mengambil kira kepentingan pihak majikan, pekerja dan kerajaan sebelum mengemukakan syor untuk pertimbangan serta persetujuan kerajaan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Saravanan juga memaklumkan kerangka kenaikan kadar upah tidak dibentang dalam pembentangan Bajet 2022 kerana Kementerian Sumber Manusia, melalui MPGN, masih di peringkat akhir penyediaan Laporan Kajian Semula PGM 2020.

Mengikut Akta MPGN 2011 (Akta 732), PGM hendaklah dikaji semula sekurang-kurangnya sekali dalam setiap dua tahun manakala PGM 2020 berkuat kuasa pada 1 Februari 2020, maka kajian semula perlu dilaksana dalam tempoh dua tahun daripada tarikh kuat kuasa perintah itu.

Saravanan juga berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik pada 22 Oktober lalu meluluskan Tatacara Prosedur Operasi Standard (SOP) Kemasukan Pekerja Asing ke Malaysia bagi semua sektor.

Beliau berkata, ia mengambil kira SOP yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan berhubung keperluan kesihatan kemasukan pekerja asing ke negara ini dan SOP tambahan daripada Kementerian Sumber Manusia merangkumi aspek prosedur Prapelepasan, Semasa Ketibaan, Selepas Ketibaan (tempoh kuarantin) dan Pasca Kuarantin.

Mengulas isu pembantu rumah asing, Saravanan berkata, kementerian itu masih dalam peringkat rundingan bersama dengan pihak Indonesia bagi memuktamadkan Memorandum Persefahaman mengenai pengambilan Perkhidmatan Domestik Indonesia yang tamat pada 30 Mei 2016.

Katanya, kerajaan bersedia membuka semula kemasukan pekerja asing bagi semua sektor walaupun perjanjian penggajian dan penghantaran pulang untuk pekerja sektor formal kerajaan Nepal berlaku kelewatan dalam urusan kemasukan yang direncatkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 6:00 PM