GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suzalina Halid


KADAR gaji minimum RM1,500 bagi sektor swasta yang termaktub dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) bukan janji yang perlu dilaksana dalam tempoh 100 hari pentadbiran.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, janji itu untuk dikotakan bagi tempoh lima tahun pentadbiran PH di bawah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Perlu dijelaskan, janji ini bukan untuk 100 hari, namun bagi tempoh lima tahun sebelum berakhirnya penggal ini.

“Kita sedang memikirkan dan usaha ke arah itu (pelaksanaan gaji minimum) sudah bermula, malah kita positif dapat melaksanakannya,” katanya ketika ditemui di Alor Setar, hari ini.

Pada masa sama, Mahfuz berkata, semakan terhadap pelaksanaan gaji minimum itu akan dijalankan setiap dua tahun untuk memastikan bayaran diterima pekerja daripada majikan negara ini, kekal relevan.

Beliau berkata, kajian mengenai pelaksanaan gaji minimum itu juga sedang dilaksanakan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) sebelum ia dibentangkan ke Kabinet.

Terdahulu, Mahfuz menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) RM2,000 kepada Salihah Che Pi, iaitu balu Johari Zakaria yang meninggal dunia di tempat kerjanya di sebuah kilang perabot dekat Gunung Keriang.

Johari, 60, maut dihempap bumbung selepas ribut, turut layak menerima pencen bulanan kira-kira RM500 yang akan diberi kepada warisnya.

Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, PERKESO Kedah sudah menguruskan RM20 juta skim pembayaran faedah pekerja, manakala keseluruhan RM44 juta untuk pembayaran keseluruhan, tahun lalu.

Sementara itu, Mahfuz berkata, semua pekerja kontrak dan sementara yang berkhidmat di sektor awam perlu dilindungi PERKESO demi menjamin kebajikan mereka.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan masih terdapat agensi kerajaan yang memandang ringan kebajikan golongan pekerja begitu dan isu berkenaan perlu diperbincangkan.

“Saya akan berbincang dengan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran untuk membuat ketegasan soal ini, namun pekerja sementara dan kontrak juga perlu berani bersuara mengenai hak mereka bagi mencarum dalam PERKESO.

“Usah takut kerana tidak sewajarnya mereka dikenakan tindakan jika berbuat demikian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 11:47 AM