Mohamad Hussin


Kajang: Teknik mengajar kelas dalam hutan atau hutan classroom lebih efisien berbanding dalam kelas kerana anak-anak Orang Asli terutama yang keciciran lebih mudah memahami teknik pembelajaran.

Presiden Kelab Sukarelawan Celik (CVC) Dr Muhammad Heikal Ismail, 34, berkata, hasil kajian yang dijalankan sepanjang tempoh pembelajaran dalam kelas mendapati mereka sukar menerima berbanding kelas di dalam hutan.

“Sepanjang saya mengajar dalam kelas sejak Mac tahun lalu, mereka sukar untuk memahami dan menulis dalam buku abjad atau nombor, tetapi apabila saya mengubah cara pembelajaran dalam hutan dan menggunakan tumbuh-tumbuhan, daun dan ranting kayu, mereka cepat membina abjad dan nombor.

“Saya menggunakan teknik pembelajaran secara Stream iaitu Sains, Teknologi, Membaca, Kejuruteraan, Kemahiran dan Matematik.

“Kelas dalam hutan satu konsep pengajaran asas ABC yang diadakan di luar bilik darjah iaitu di dalam hutan.

“Kaedah ini dijalankan untuk anak-anak keciciran Orang Asli.

“Berdasarkan sebulan pelaksanaan kelas dalam hutan ini, penerimaan anak-anak Orang Asli begitu positif dan mereka menunjukkan peningkatan yang sungguh memberangsangkan,” katanya yang ditemui di Perkampungan Orang Asli Kachau Luar, Semenyih, dekat sini, semalam.

Dr Muhammad Heikal yang juga pensyarah Kejuruteraan Kimia di Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, idea untuk mendidik anak-anak Orang Asli ini selepas beliau menamatkan pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).

“Saya berasa terpanggil untuk membantu anak-anak Orang Asli yang masih lagi keciciran dalam pelajaran berbanding murid di luar sana.

“Saya mengambil inisiatif menghubungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana mereka mempunyai seorang ustaz yang mengajar mengenai pendidikan Islam di situ.

“Selepas itu, saya berjumpa dengan tok batin kampung berkenaan dan memohon untuk diadakan kelas bagi mengajar anak-anak Orang Asli yang keciciran terutama mereka yang berusia antara empat hingga 11 tahun,” katanya.

Menurutnya, pada mulanya, agak kekok anak-anak ini menerima pembelajaran kerana tidak biasa namun lama-kelamaan mereka sudah mula adaptasi teknik Stream yang dipelajari.

“Sampaikan ada ibu bapa mereka yang meminta saya meneruskan pembelajaran ini kerana melihat perkembangan anak-anak mereka sungguh menggalakkan.

“Ada anak-anak ini yang tidak pandai menulis dan membaca sebelum ini, sudah mula menunjukkan peningkatan mengenal abjad dan nombor.

“Ia satu perkembangan yang baik kerana anak-anak ini perlu diberi bimbingan seawal usia mereka,” katanya yang mengadakan kelas hutan setiap Ahad dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Beliau berkata, kelebihan belajar kelas dalam hutan dapat meneroka sains melalui alam termasuk mengenal pasti ciri-ciri pokok, haiwan dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 8:58 AM