AMIR Iqbal pada Program Santai Mat Moto. FOTO Hazreen Mohamad
AMIR Iqbal pada Program Santai Mat Moto. FOTO Hazreen Mohamad
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pengalaman pernah didakwa di mahkamah serta digantung lesen selama dua tahun menyebabkan seorang bekas mat rempit berhenti daripada melakukan kegiatan itu sejak empat tahun lalu.

Menceritakan pengalamannya, Amir Iqbal Momamed Shamsudin, 26, berkata, dia mula terjebak dengan aktiviti mat rempit sejak di bangku sekolah ketika berusia 15 tahun.

Menurutnya, dia memiliki sebuah motosikal Yamaha LC yang dihadiahkan oleh keluarganya yang sentiasa diubah suai mengikut cita rasanya.

"Saya ada hobi tersendiri iaitu mengubah suai motosikal termasuk di bahagian enjin, tukar ekzos serta menggunakan tayar kecil sebelum mencubanya di lebuh raya (merempit).

"Bagi menampung kos ubah suai yang mencecah hingga RM10,000 itu, saya sanggup bekerja sambilan sejak di bangku sekolah kerana terlalu minat untuk mengubah suai motosikal," katanya ketika ditemui di Program Santai Mat Moto di restoran di Jalan Ipoh, semalam.

Amir Iqbal yang menetap di Danau Kota, di sini berkata, dia pernah ditahan dua kali oleh polis ketika merempit di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) masing-masing pada 2018 dan 2019.

"Ketika tangkapan pertama, saya tidak didakwa di mahkamah kerana tida ada bukti saya merempit, namun ada video membuktikan saya melakukan kegiatan itu pada tangkapan kedua.

"Disebabkan itu, saya didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dikenakan denda RM5,000 serta lesen (memandu) digantung selama dua tahun.

"Saya terpaksa meminjam dengan orang sekeliling untuk membayar denda berkenaan menyebabkan saya serik untuk merempit lagi," katanya yang membuka bengkel motosikal di Gombak, Selangor.

Sementara itu, seorang lagi peserta program yang mahu dikenali sebagai Zamarul Amri, 18, berkata, dia merempit sejak berada di tingkatan dua.

"Saya mula terjebak dengan rempit selepas mengikut kawan dengan menggunakan skuter Ego LC milik ibu ketika itu. Meskipun ibu banyak kali melarang dan membebel, tapi saya masih juga merempit.

"Kini saya dah kurang keluar (merempit) kerana terbatas dengan kerja sebagai penghantar makanan," katanya.

Zamarul berkata, sebelum ini, dia pernah terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban ketika merempit yang menyebabkan tulang bahunya cedera.

"Namun, saya tidak pernah membuat pemeriksaan terhadap kecederaan itu di hospital mahupun klinik kerana takut memandangkan saya kemalangan disebabkan merempit.

"Sejujurnya, saya tahu merempit itu salah. Namun, saya masih juga melakukan aktiviti itu sebab saya hanya mahu menggembirakan diri. Disebabkan itu, saya kini mengehadkan diri daripada melakukannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 12:38 PM