GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


MAYAT lelaki ditemui dalam keadaan terapung dengan kaki kanannya diikat dengan batu pemberat di kawasan Teluk Rotan, Pulau Redang, semalam.

Mayat tidak sempurna dan reput itu ditemui dua lelaki yang memancing di kawasan berkenaan pada 7.15 pagi sebelum mereka melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.

Sumber berkata, polis yang menerima maklumat bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

Beliau berkata, mayat dijumpai dalam keadaan terapung dan tertiarap di tepi pantai dengan memakai baju-T putih dan seluar panjang berwarna biru.

“Pemeriksaan mendapati terdapat ikatan tali pada kaki kanan bersama batu pemberat dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

“Mayat itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 6:19 PM