LOKASI kemalangan motosikal menyebabkan tiga penunggang motosikal maut selepas bertembung sesama mereka dalam kemalangan di Kilometer 1.5 Jalan Simpang Lima - Parit Sulong, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
LOKASI kemalangan motosikal menyebabkan tiga penunggang motosikal maut selepas bertembung sesama mereka dalam kemalangan di Kilometer 1.5 Jalan Simpang Lima - Parit Sulong, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Mohamed Farid Noh


TIGA penunggang motosikal maut selepas bertembung sesama mereka dalam kemalangan di Kilometer 1.5 Jalan Simpang Lima - Parit Sulong, dekat Batu Pahat, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, Hamirul Neeza Abdul Rahman Justin, 20, Muhamad Hamizi Isak, 18, dan Muhammad Fikri Zulhizir, 18, disahkan maut di lokasi kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan KS Mender Singh berkata, kesemua mayat mangsa yang berasal dari daerah ini, dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) bagi menjalani proses bedah siasat, pagi ini.

Katanya, ketika kejadian berlaku Hamirul Neeza dan Muhamad Hamizi sedang menunggang motosikal dari arah Parit Sulong menghala ke pusat bandar, manakala Muhammad Fikri dari arah bertentangan.

"Mengikut siasatan awal, setibanya di lokasi kejadian motosikal dinaiki Muhamad Hamizi bertembung dengan motosikal ditunggangi Muhammad Fikri secara bertentangan.

"Pada waktu yang sama, motosikal ditunggangi Hamirul Neeza tiba di tempat kejadian, namun tidak sempat mengelak sebelum merempuh kedua-dua mangsa.

"Akibat rempuhan itu, Hamirul Neeza terpelanting ke arah pokok di bahu kiri jalan, Muhamad Hamizi turut terpelanting ke bahu kiri jalan manakala Muhammad Fikri pula terpelanting ke tengah jalan. Ketiga-tiga mangsa disahkan maut di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mender Singh berkata, kes berkenaan masih di dalam siasatan mengikutSeksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 11:54 AM