DUA lelaki maut,  manakala dua lagi parah selepas kereta Toyota Vios hilang kawalan sebelum merempuh pokok di Kilometer 135 Jalan Batu Pahat-Muar, dekat Peserai, malam tadi. FOTO Ihsan Bomba
DUA lelaki maut, manakala dua lagi parah selepas kereta Toyota Vios hilang kawalan sebelum merempuh pokok di Kilometer 135 Jalan Batu Pahat-Muar, dekat Peserai, malam tadi. FOTO Ihsan Bomba
Mohamed Farid Noh


DUA lelaki maut, manakala dua lagi parah selepas Toyota Vios dinaiki mereka hilang kawalan sebelum merempuh pokok di Kilometer 135 Jalan Batu Pahat-Muar, dekat Peserai, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, pemandu kereta itu, Mohd Fazly Reza Mohamed, 30, dan penumpang hadapan, Muhamad Izhuan Kahar, 24, disahkan maut di lokasi kejadian.

Dua lagi penumpang belakang, Muhamad Basri Hamadan, 24, dan Nor Hasyim Abu Bakar, 34, dilaporkan parah dan dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan KS Mender Singh berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika empat sahabat berkenaan dalam perjalanan dari arah bandar menuju ke Muar.

"Setibanya mereka di lokasi kejadian di kawasan Peserai, kereta dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh pokok di bahu kiri jalan berkenaan.

"Akibat rempuhan kuat itu, pemandu kereta dan penumpang hadapan maut serta-merta di lokasi kejadian, manakala dua penumpang belakang yang parah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat.

"Siasatan awal mendapati keempat-empat mangsa adalah sahabat dan bekerja di cawangan restoran Jepun," katanya ketika dihubungi.

Mender berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Pahat, Fauzi Mohd Nor, ketika dihubungi berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Timah Sari bersama lapan anggota dikejarkan ke tempat kejadian apabila menerima panggilan kecemasan.

"Setibanya di lokasi, anggota mendapati pemandu kereta tersepit di dalam kereta berkenaan dan bantuan segera diberikan bagi mengeluarkan mangsa.

"Tiga lagi mangsa berjaya dikeluarkan hasil bantuan orang awam di lokasi, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 8:57 AM