Mohamed Farid Noh


“AKU minta maaf kalau ada buat salah, satu je nak pesan, jangan pernah berdendam dengan orang."

Demikian mesej yang dikirim mangsa kemalangan maut di Kilometer 1.5 Jalan Simpang Lima - Parit Sulong, Batu Pahat, hari ini, kepada rakan-rakan baiknya minggu lalu.

Rakan baiknya, Muhamad Alif Hakim, 20, berkata, Hamirul Neeza Abdul Rahman Justin, 20, yang dipanggil Bam dalam kalangan teman dan keluarga, mengirimkan mesej meminta maaf berkenaan kepada semua temannya sehingga membuat mereka merasa pelik.

Muhamad Alif berkata, dua minggu sebelum kemalangan berkenaan, arwah Bam yang ceria dan suka bergurau, bertukar murung selepas dua rakan baiknya turut meninggal dunia dalam kemalangan selepas dirempuh kereta di pusat bandar, 5 Ogos lalu.

"Arwah Bam sering mimpi dua rakannya yang meninggal dunia itu dan bertukar menjadi pendiam sehinggalah dia mengirimkan mesej meminta maaf kepada kami minggu lalu.

"Saya ada bertanya mengapa dia tiba-tiba meminta maaf daripada semua rakan-rakan, namun arwah hanya mengatakan jangan risaukannya dan biarlah dia saja menanggung apa jua masalah yang dihadapi.

"Malam tadi saya sempat bertemu arwah di stesen minyak kira-kira 9 malam dan dia mengatakan badannya kepenatan selepas selesai bekerja dan mahu berehat di rumah dan tidak pula memberitahu akan ke Parit Sulong. Tidak sangka pula itu adalah perbualan terakhir kami," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini, hari ini.

Dalam tragedi kira-kira 2 pagi itu, tiga penunggang motosikal maut selepas bertembung sesama mereka dalam kemalangan di Kilometer 1.5 Jalan Simpang Lima - Parit Sulong.

Selain Bam, turut terkorban adalah Muhamad Hamizi Isak, 18, dan Muhammad Fikri Zulhizir, 18, yang disahkan maut di lokasi kejadian.

Jenazah Bam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya selepas solat Jumaat.

Berita berkaitan

Tragedi malam Merdeka

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 4:52 PM