Muhammad Apendy Issahak

DILAHIRKAN pada April 1957 menjadikan D Pushpa, 61, sangat menghargai kemerdekaan dan menerapkan semangat patriotik dalam setiap ahli keluarganya supaya menghargai keamanan negara.

Wanita yang menetap di Buntong, di Ipoh, sering menggalakkan ahli keluarga terutama cucunya menyertai pelbagai program membabitkan Hari Kebangsaan.

Menurutnya, antara program yang ahli keluarganya pasti tidak akan ketinggalan adalah perarakan basikal berhias dengan Jalur Gemilang anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Baru, Jalan Sungai Pari, di Ipoh, setiap tahun.

“Sudah lima tahun kami menyertai perarakan ini dan tahun ini, enam cucu saya mengambil bahagian.

“Kami sekeluarga mengambil masa kira-kira seminggu untuk menghias enam basikal dengan Jalur Gemilang,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Perarakan Basikal Berhias dengan Jalur Gemilang di Sekolah Kebangsaan (SK) Guru Kalghidar, di Ipoh, hari ini.

Majlis perasmian dan pelepasan peserta perarakan disempurnakan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat.

Program yang diadakan setiap tahun sejak 16 tahun lalu itu membabitkan penyertaan 35 kanak-kanak dengan basikal masing-masing yang dihiasi Jalur Gemilang dan pelbagai perhiasan kreatif lain bersempena Hari Kebangsaan.

Pushpa berkata, enam cucunya yang menyertai perarakan itu adalah lima beradik iaitu L Kirthana, 15; Subanu, 14; Monish Raj, 10; serta pasangan kembar Mugunthan dan Mukesh berusia 13 tahun, selain seorang sepupu mereka G Sarrena, 14.

“Aktiviti seperti ini sangat bagus dalam mengeratkan lagi silaturahim bukan sahaja antara keluarga tetapi masyarakat setempat terutama kanak-kanak selain memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peserta perarakan, Nur Liyana Maisarah Shahrul Anuar, 13, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tarcisian Convent, berkata, dia seronok menyertai program berkenaan.

“Ini tahun ketiga saya menyertai perarakan ini dan perhiasan basikal saya disiapkan dengan bantuan keluarga selain jiran dan dua kali sebelum ini berjaya mendapat tempat ketiga hiasan tercantik.

“Selain Jalur Gemilang, saya turut menghias basikal dengan gambar kesemua Perdana Menteri Malaysia, Jata Negara selain bendera semua negeri di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 3:58 PM
S Uvendirran 14, (kanan) bersama adiknya Tharvin 11, berarak menyertai Kempen Kibar Jalur Gemilang. FOTO Abdullah Yusof
S Uvendirran 14, (kanan) bersama adiknya Tharvin 11, berarak menyertai Kempen Kibar Jalur Gemilang. FOTO Abdullah Yusof