Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Setiap tahun lelaki ini akan menghabiskan masa kira-kira sebulan hingga ke dua bulan untuk menghasilkan replika berkonsepkan kemerdekaan bagi menzahirkan semangat patriotiknya meraikan hari Kebangsaan.

Terbaru kakitangan Felda Bukit Sagu 1, Mohd Shah Riduwan Abdul Rahman, 37, menghasilkan replika helikopter jenis Ah 64 Apache sebagai simbolik usaha pasukan keselamatan negara mempertahankan negara.

Menurutnya, replika helikopter yang dihasilkannya menggunakan bahan terpakai sebelum dihias dengan Jalur Gemilang dan dipamerkan di hadapan rumahnya

"Tahun lalu saya menghasilkan replika kereta perisai dan untuk replika helikopter Ah 64 Apache, saya mula membuatnya sejak Jun lalu dan barang yang digunakan adalah bahan terbuang selebihnya dibeli seperti zink, cat dan besi untuk membuat rangka.

"Saya menggunakan lebih 200 Jalur Gemilang pelbagai saiz untuk dihias pada replika helikopter termasuk di kawasan hadapan rumah," katanya yang sebelum ini bertugas dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menurut bapa tiga cahaya mata itu, bantuan isterinya, Siti Lailatul Mariam Mokhtar, 34, melancarkan proses menghasilkan replika helikopter berkenaan yang perlu melalui beberapa peringkat seperti menghasilkan rangka diperbuat daripada besi, kemudian proses mencantum dilakukan menggunakan kumpalan.

Mohd Shah Riduwan berkata, dia mengeluarkan perbelanjaan lebih RM1,000 bagi menyediakan replika helikopter kali ini.

"Pertandingan Ceria Merdeka Felda Wilayah Kuantan yang diadakan tahun lalu menjadi detik permulaan saya menghasilkan replika dihias dengan Jalur Gemilang.

"Saya begitu berminat menghasilkan replika terutama membabitkan peralatan ketenteraan termasuk helikopter dan kereta perisai, replika berkenaan dapat lebih menceriakan sambutan Hari Kebangsaan yang disambut setiap tahun," katanya yang turut menerima tempahan menghasilkan pelbagai replika ketenteraan.

Bagi Siti Lailatul Mariam, dia banyak membantu mengecat replika helikopter yang perlu dilakukan secara berperingkat dan teliti.

"Kami bekerja secara sekeluarga, masa yang terluang digunakan untuk mengecat replika berkenaan selain menghias dengan Jalur Gemilang.

"Saya berbangga dapat membantu suami menghasilkan replika helikopter yang dihias dengan Jalur Gemilang, harapan saya untuk meraih kejayaan pada yang diadakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 10:05 AM
MOHD Shah Riduwan menghasilkan replika helikopter Ah 64 Apache dihias dengan Jalur Gemilang. FOTO Mohd Rafi Mamat
MOHD Shah Riduwan menghasilkan replika helikopter Ah 64 Apache dihias dengan Jalur Gemilang. FOTO Mohd Rafi Mamat