Ismail Lasim
Ismail Lasim
BERNAMA

Seremban: Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan mengetengahkan sembilan tokoh anak jati negeri itu sebagai paparan wajah kemerdekaan pada papan iklan diod pemancar cahaya (LED) di lapan daerah bermula hari ini hingga 16 September ini.

Exco Pendidikan dan Modal Insan negeri Datuk Ismail Lasim berkata, ia sebagai platform mengangkat martabat figura terbabit yang banyak menyumbang kepada negara dalam mencapai kemerdekaan serta bidang lain.

"Inisiatif ini lebih inovatif dan kreatif apabila ia dipaparkan pada papan iklan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Rakyat secara keseluruhannya dapat melihat dan mengetahui jasa dan pengorbanan tokoh tersebut yang merupakan anak kelahiran negeri ini," katanya selepas merasmikan Pelancaran Paparan Wajah Merdeka Anak Nogoghi, di sini.

Tokoh terbabit adalah Tuanku Abdul Rahman Almarhum Tuanku Muhammad (Yang di-Pertuan Agong Pertama Persekutuan Tanah Melayu); Yamtuan Antah Yamtuan Radin (mempertahankan kedaulatan Seri Menanti pada 1876); Abdul Qahar Mukmin (Pendekar Siamang Gagap iaitu Panglima Angkatan Perang).

Datuk Syeikh Ahmad Mohd Said (pembaca doa kesejahteraan Hari Kemerdekaan Tanah Melayu 31 Ogos 1957); Datuk Siti Rahmah Kassim (Wanita Gelang Merdeka); Tan Sri Zainal Abidin Ahmad Za'aba (Pendeta Za'aba); Sarjan Hassan Othman; Tauke Tung Yen (pelombong bijih timah membangunkan Kuala Pilah) dan legenda badminton negara Datuk Punch Gunalan.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun di Facebook rasminya menyifatkan paparan berkenaan adalah sumber ilmu kepada masyarakat mengenai hasil usaha dan dedikasi daripada tokoh kemerdekaan negara ini.

"Menjadi harapan bahawa paparan ini bukan sahaja menjadi sumber ilmu, tetapi juga membangkitkan semangat cintakan tanah air," katanya sambil menyeru rakyat terus meraikan warisan perjuangan pahlawan yang mengorbankan segalanya agar masa depan negara menjadi lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 4:16 PM