Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Pemilik anjing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana kecuaian menjaga haiwan peliharaannya hingga menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak empat tahun.

Majistret Rahimah Rahim menjatuhkan hukuman itu selepas C Jaiyaraman, 57, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan cuai meninggalkan seekor anjingnya hingga menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak lelaki, V Theenash, 4, di Taman Permainan Kanak-Kanak, Taman Seremban Jaya, di sini, 5.30 petang, pada 8 Ogos lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Sara Afiqah Zulkipli manakala tertuduh diwakili A Partheeban.

Dalam rayuan yang dikemukakan peguam, tertuduh kesal terhadap perbuatannya itu dan berjanji akan lebih menjaga haiwan peliharaannya ketika berada di tempat awam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 4:52 PM