Sarah Zulkifli


WARGA Indonesia, Siti Aishah dan warga Vietnam, Doan Thi Huong dipanggil membela diri oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini atas pertuduhan membunuh Kim Chol atau abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.

Hakim Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Di dalam prosiding itu, kedua-dua tertuduh memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah di dalam kandang tertuduh.

Sebaik tamat prosiding selama dua jam 40 minit itu, Aisyah dan Thi Huong tenang ketika jurubahasa memaklumkan mereka berhubung keputusan mahkamah.

Siti Aisyah, 26, dan Thi Huong, 29, didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), pada 9 pagi, 13 Februari 2017.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh tiba di Kompleks Mahkamah Shah Alam kira-kira jam 8.20 pagi dikawal

ketat pasukan polis.

Manakala petugas media mula berkumpul di kompleks ini seawal

7 pagi.

Seramai 34 saksi pendakwaan sepanjang 39 hari perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini yang bermula sejak 2 Oktober tahun lalu.

Sepanjang perbicaraan, sebanyak 236 bahan bukti dikemukakan kepada mahkamah termasuk pakaian dipakai ketika hari kejadian milik kedua-dua tertuduh dan mangsa serta rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) ketika kejadian.

Jong-nam, anak sulung bekas pemimpin Korea Utara Kim Jong-il, hidup dalam buangan di China dan Asia Tenggara selepas bergaduh dengan bapanya.

Beliau yang memiliki pasport tertera nama Kim Chol meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya dan dilaporkan berada di Malaysia sejak 6 Februari.

Pembunuhan itu mencetuskan perbalahan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara yang menyaksikan kedua-dua negara melarang warga negara masing-masing meninggalkan Malaysia dan Korea Utara dan mengundurkan duta masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 3:20 PM
TERTUDUH, seorang wanita warga Vietnam, Doan Thi Huong (hadapan) dibawa oleh anggota polis bagi membela diri oleh Mahkamah Tinggi hari ini atas pertuduhan membunuh Kim Chol atau abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam di Mahkamah Tinggi, Shah Alam. Foto NSTP/SYARAFIQ ABD SAMAD
TERTUDUH, seorang wanita warga Vietnam, Doan Thi Huong (hadapan) dibawa oleh anggota polis bagi membela diri oleh Mahkamah Tinggi hari ini atas pertuduhan membunuh Kim Chol atau abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam di Mahkamah Tinggi, Shah Alam. Foto NSTP/SYARAFIQ ABD SAMAD