Barisan pendakwaan kes bunuh Jong-nam. (Dari kiri) Syed Farid Syed Al, Raja Zaizul Raja Zaharudin , Mohd Fairuz Johari, Muhamad Iskandar Ahmad (Ketua Pendakwaan), Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohamad Mustaffa P Kunyalan. FOTO Sarah Zulkifli
Barisan pendakwaan kes bunuh Jong-nam. (Dari kiri) Syed Farid Syed Al, Raja Zaizul Raja Zaharudin , Mohd Fairuz Johari, Muhamad Iskandar Ahmad (Ketua Pendakwaan), Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohamad Mustaffa P Kunyalan. FOTO Sarah Zulkifli
Sarah Zulkifli


PIHAK pendakwaan akan membuktikan pembabitan wanita warga Indonesia dan Vietnam dalam kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Februari lalu.

Pengarah Pendakwaan Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad berkata, jelas membuktikan perbuatan Siti Aisyah, 25, dan Doan Thi Huong, 28, yang menyapu cecair beracun VX kepada mendiang hingga menyebabkan kematiannya.

“Melalui keterangan langsung pendakwaan juga akan membuktikan Siti Aisyah dan Doan dengan latihan 'prank' yang diselia oleh empat orang yang masih bebas bagi memastikan niat bersama mereka untuk membunuh Jong-nam,” katanya pada hari pertama perbicaraan kes itu.

Dalam prosiding itu juga, Siti Aisyah dan Doan mengaku tidak bersalah sebaik tuduhan dibacakan di depan Hakim Datuk Azmi Ariffin.

Pada 1 Mac lalu, kedua-dua wanita itu dihadapkan di Mahkamah Majistret Sepang atas pertuduhan membunuh Jong-nam, 45, bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Pelepasan, KLIA2, pada kira-kira 9 pagi, 13 Februari, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Jong-nam, anak sulung bekas pemimpin Korea Utara Kim Jong-il, hidup dalam buangan di China dan Asia Tenggara selama beberapa tahun selepas bergaduh dengan bapanya.

Beliau yang memiliki pasport tertera nama Kim Chol meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya dan dilaporkan berada di Malaysia sejak 6 Februari.

Pembunuhan itu mencetuskan perbalahan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara yang menyaksikan kedua-dua negara melarang warga negara masing-masing meninggalkan Malaysia dan Korea Utara dan mengundurkan duta masing-masing.

Larangan dibatalkan pada penghujung Mac selepas suatu perjanjian tercapai berhubung pemulangan mayat Jong-nam ke Korea Utara.

Perbicaraan sedang berlangsung dengan pendakwaan memanggil saksi pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 10:58 AM