AZHARI  menunggang motosikalnya yang dihiasi Jalur Gemilang mengelilingi Kuching.
AZHARI menunggang motosikalnya yang dihiasi Jalur Gemilang mengelilingi Kuching.
Mohd Latif Ahmad

Kuching: Seorang lelaki berusia 61 tahun tidak kisah dianggap ‘pelik’ kerana menghias motosikal kesayangannya dengan Jalur Gemilang setiap kali tibanya sambutan Hari Kebangsaan.

Sebaliknya, dia menganggap apa yang dilakukannya itu membawa makna cukup besar untuk menanam semangat patriotik dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda agar sentiasa mensyukuri nikmat kemerdekaan yang dikecapi.

Menurut Azhari Hamdan, inisiatif itu dimulakannya sejak 18 tahun lalu.

“Sebaik motosikal siap dihias, saya menunggangnya setiap hari mengelilingi Bandaraya Kuching.

“Saya melakukannya demi rasa cinta pada negara, bumi bertuah ini. Jika saya merasakan demikian, maka anak-anak muda yang juga generasi pelapis perlu memiliki perasaan sama, kita perlu bangga menjadi rakyat Malaysia, rakyat Sarawak, selain menghargai kemerdekaan yang kita kecapi.

“Kita boleh lihat pada masa ini, tidak ramai anak muda bersikap patriotik. Mereka tidak memahami pahit jerih dan pengorbanan generasi terdahulu memperjuangkan kemerdekaan negara,” katanya.

Menurutnya, ada juga individu yang menganggapnya lelaki tidak siuman.

“Ada yang mengatakan apa yang saya lakukan ini tidak berfaedah selain saya tidak siuman, tetapi saya tidak kisah,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar kerajaan menerusi agensi dan jabatan berkaitan, termasuk wakil rakyat menyediakan platform seperti yang dilakukannya itu bagi menanam rasa cintakan negeri dan negara dalam kalangan generasi muda.

Katanya, sepanjang melakukan aktiviti patriotik itu, dia tidak pernah melihat penganjuran program menghiasi motosikal dengan bendera dijalankan di bandaraya ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 10:07 AM