ALYA Soleha (kanan) bersama adiknya Aisyah Zahra menggantung bendera Malaysia di rumahnya. FOTO Aswadi Alias.
ALYA Soleha (kanan) bersama adiknya Aisyah Zahra menggantung bendera Malaysia di rumahnya. FOTO Aswadi Alias.
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


Kuala Lumpur: Sambutan bulan kemerdekaan yang sudah bermula adalah masa yang sesuai untuk rakyat berbilang kaum menunjukkan semangat patriotik dan kasih sayang terhadap negara.

Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, bagaimanapun berkata, sambutan itu perlu dibuat secara sukarela dan bukan dengan paksaan.

Katanya, ini kerana Malaysia adalah sebuah negara yang merdeka serta berdaulat, dan bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-64.

"Walaupun negara dilanda pandemik Covid-19, saya percaya ia tidak merencatkan sambutan Hari Kemerdekaan.

"Malah sambutan Hari Merdeka ke-64 ini adalah masa yang sesuai untuk rakyat menunjukkan semangat patriotisme dan cintakan negara dengan perasaan penuh bangga," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu Lee berkata, menyemai sifat bangga pada bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang juga adalah salah satu ciri penting dalam pembinaan negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya.

Katanya, rakyat seharusnya berbangga dengan bendera Malaysia kerana ia adalah lambang kemegahan dan patriotisme terhadap negara.

"Jalur Gemilang melambangkan kesetiaan, kesatuan dan patriotisme dan adalah penting untuk kita menanam semangat dan nilai nasionalisme dan patriotisme ini di kalangan generasi muda.

"Satu cara untuk menjadikan generasi muda kita patriotik dan bersemangat nasionalisme adalah dengan mendidik mereka menghormati dan mencintai bendera.

"Menganjurkan kempen Cintakan Bendera Kita di sekolah, di kalangan anak muda penting bagi memberikan mereka kefahaman tentang kepentingan bendera kebangsaan dan maksud di sebaliknya," katanya.

Namun beliau berkata, usaha itu tidak seharusnya diadakan hanya bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan sahaja, malah perlu dilakukan sepanjang tahun.

Bagi generasi tua pula katanya, Hari Kebangsaan membawa ingatan kegigihan dan perjuangan menentang penjajah dalam usaha mencapai kemerdekaan.

"Bagi mereka, ia melambangkan pengorbanan serta kebanggaan dengan apa yang sudah dicapai selama ini," katanya.

Bagaimanapun Lee berkata, kajian yang dijalankan oleh akhbar tempatan tidak lama dahulu menunjukkan walaupun kebanyakan anak muda mempunyai semangat patriotik, mereka masih tidak memahami dan menghayati sepenuhnya erti sebenar kemerdekaan.

Katanya, bagi mereka Hari Kemerdekaan hanyalah cuti am atau hari mereka berpeluang bersantai dan beriadah kerana hanya segelintir sahaja yang memahami maksud hari kemerdekaan ini.

"Justeru, lebih banyak usaha harus diambil untuk menerangkan dan menjadikan mereka lebih peka dan menghargai serta menghayati erti sebenar Hari Kemerdekaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 12:06 PM