LANGKAWI, antara destinasi popular pelancong. FOTO Ihsan Pembaca
LANGKAWI, antara destinasi popular pelancong. FOTO Ihsan Pembaca
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


KERAJAAN Negeri Sembilan tidak lagi meluluskan sumbangan kepada sekolah yang mengadakan lawatan sambil belajar.

Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, ini berikutan aktiviti seperti itu tidak mencapai matlamat selain ada juga pihak sekolah yang menjadikan lawatan sambil belajar itu sebagai aktiviti tahunan dengan memilih lokasi pelancongan seperti Pulau Langkawi, Kedah serta Indonesia.

“Saya menerima terlalu banyak permohonan daripada pihak sekolah yang meminta sumbangan antara RM5,000 sehingga RM20,000 dan sebelum ini ada meluluskan sumbangan terbabit.

“Namun, selepas ini, tiada lagi kerana seperti kita tahu aktiviti seperti ini memang bagus, tetapi kerajaan negeri mahu memberi lebih tumpuan kepada aktiviti yang dapat meningkatkan prestasi pendidikan dan kokurikulum sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Modal Insan Terbilang, Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Perasmian Gelanggang Futsal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampangan, di Seremban, hari ini.

Aminuddin berkata, jika ada sekolah cemerlang yang membuat permohonan pihaknya akan membuat pengecualian sebagai inisiatif atau anugerah kepada mereka.

Sementara itu, beliau mengesahkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Rembau ditutup dan akan membuka pusat itu di Jempol.

Katanya, pembukaan RTC di Jempol lebih strategik kerana memudahkan penduduk untuk menjalankan sebarang urusan dan amat diperlukan oleh penduduk setempat.

“RTC di Rembau pula tidak terlalu jauh dari Seremban iaitu hanya kira-kira 20 kilometer saja berbanding Jempol yang lebih jauh dan mempunyai banyak FELDA.

“Permohonan sudah dibuat minggu lalu dan kalau boleh dibina tahun ini juga kerana lokasi juga sudah dikenal pasti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 8:13 PM