Aminuddin bersalaman dengan peserta program. FOTO Hazreen Mohamad
Aminuddin bersalaman dengan peserta program. FOTO Hazreen Mohamad
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


MENTERI Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun berpuas hati dengan sambutan masyarakat di negeri itu berkenaan peraturan larangan merokok.

Berdasarkan pemerhatian di restoran di sekitar Seremban, beliau mendapati orang ramai terutama golongan muda yang merokok, mematuhi peraturan itu.

“Malah saya dapati ada perokok yang merokok lebih jauh dari peraturan tiga meter bagi menghormati mereka yang tidak merokok dan keluarga yang membawa anak kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melepaskan peserta Program ‘Plogging @ Gunung Datuk’ di Gunung Datuk di Rembau hari ini.

Program itu julung kali diadakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan dan Kibing Group Malaysia Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Aminuddin berharap setiap individu sama ada yang merokok atau sebaliknya menghormati hak serta perbezaan masing-masing.

“Sebagai rakyat yang berdisiplin dan bertamadun, saya juga berharap setiap individu di negeri ini mematuhi peraturan larangan merokok bagi kebaikan semua pihak terutama kanak-kanak dan warga emas,” katanya.

Mulai 1 Januari lalu semua premis makanan diwartakan sebagai tempat larangan merokok selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.

Pindaan pewartaan itu dilaksanakan mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004).

Pix Hazreen Mohamad

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 1:16 PM