Aminuddin Harun (tengah) melihat barangan keperluan sekolah sumbangan PETRONAS  sewaktu sesi penyerahan Program 'Back to School' 2022 di Seremban. Ihsan Petronas
Aminuddin Harun (tengah) melihat barangan keperluan sekolah sumbangan PETRONAS sewaktu sesi penyerahan Program 'Back to School' 2022 di Seremban. Ihsan Petronas
Mohd Khidir Zakaria


Seremban: Seramai 1,100 pelajar sekolah yang dikenalpasti daripada keluarga berpendapatan rendah di Negeri Sembilan menerima sumbangan kelengkapan tambahan untuk kembali ke sekolah.

Program Sentuhan Ilmu 'Back to School' 2022 (BTS 2022) anjuran Yayasan Petronas itu menyumbang kelengkapan sekolah dan kit kebersihan diri yang diagihkan kepada 650 murid sekolah rendah dan 450 pelajar sekolah menengah dari keluarga berpendapatan rendah di Negeri Sembilan.

Majlis serahan dilakukan Pengawal Selia, Strategi Korporat Petronas, Yu Shen Saw kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di Pejabat Pendidikan Negeri Sembilan, hari ini.

Yu berkata, sumbangan itu sebagai persediaan serta kelengkapan tambahan untuk kembali ke sekolah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan membabitkan penerima dari Seremban, Jelebu, Tampin, Kuala Pilah, Port Dickson dan Rembau.

"Mereka menerima satu set pakaian seragam sekolah, sepasang kasut hitam, kit bilik darjah membabitkan beg sekolah, alat tulis, botol air dan kotak makan tengah hari.

"Selain itu, kit kebersihan diri mengandungi topeng muka, tuala tangan dan buku nota aktiviti, satu set pakaian sukan dan satu set geometri bagi pelajar sekolah menengah.

"Buku nota aktiviti itu mengandungi rancangan pengajaran yang disusun guru dari Program Duta Guru Yayasan Petronas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 6:49 PM