RAJA Shahrom (kanan) diiringi Mohd Sham melihat kereta diubahsuai pada sidang media Op Samseng Jalanan Khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Bukit Beruang, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad.
RAJA Shahrom (kanan) diiringi Mohd Sham melihat kereta diubahsuai pada sidang media Op Samseng Jalanan Khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Bukit Beruang, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad.
Mohd Hilmie Hussin


RATUSAN pemandu kereta yang bersedia memulakan perlumbaan terpaksa membatalkan hasrat mereka selepas lokasi perlumbaan diserbu polis dalam Op Samseng Jalanan Khas di kawasan Autocity, Alor Gajah, Ahad lalu.

Difahamkan, dalam serbuan sepasukan anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri bermula 1 hingga 5 pagi itu, tiga kereta sedang berlumba drag manakala selebihnya menunggu giliran untuk beraksi.

Selain pelumba dari Melaka, terdapat juga pelumba datang dari Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.

Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, tangkapan dilakukan selepas JSPT membentuk satu pasukan khas bagi membanteras perlumbaan haram di negeri ini.

“Dalam operasi itu, polis menahan 79 kenderaan daripada ratusan yang berada di lokasi.

“Ketika serbuan, tiga kereta sedang berlumba, manakala yang lain sedang menunggu giliran selain ada yang menjadi penonton,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Bukit Beruang, hari ini.

Hadir sama, Ketua JSPT negeri Superintendan Mohd Sham Abdullah.

Raja Shahrom berkata, sebanyak 77 kereta pelbagai jenis ditahan di IPK negeri, manakala dua lagi mempunyai nombor chasis berbeza dengan nombor pendaftaran kenderaan digunakan.

Beliau berkata, dua kereta itu kemudian diserahkan kepada unit curi kenderaan untuk siasatan lanjut manakala 77 lagi disita mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis turut menahan tiga lelaki berusia 20, 24 dan 35 tahun yang sedang berlumba ketika serbuan dan mereka direman dua hari bermula hari ini serta disiasat mengikut Seksyen 81(2) dan Seksyen (3) APJ 1987.

“Kami masih menjalankan siasatan lanjut mengenai pertaruhan dan kami percaya setiap perlumbaan pasti ada habuan dipertaruhkan.

“Seramai 191 individu diperiksa dan 34 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, kesalahan nombor pendaftaran, ubahsuai ekzos dan tiada lampu brek ketiga,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan 52 saman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 10:32 PM