Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


TINDAKAN lima lelaki berlumba kereta di Jalan Persiaran Teknologi 5, Bandar Enstek, Nilai mengundang padah apabila ditahan dalam Op Samseng Jalanan, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir, berkata operasi dilakukan pihaknya bersama Unit Risikan dan Operasi Trafik Bukit Aman, bermula jam 10 malam hingga 6 pagi.

Katanya, penyamaran pasukannya mendapati kelima-lima lelaki berusia 20-an itu sedang berlumba hingga membahayakan nyawa orang lain.

“Sehubungan itu tiga pegawai dan 16 anggota polis menyerbu lokasi perlumbaan dengan menahan semua suspek. Lima lelaki berusia 18 hingga 23 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai untuk siasatan mengikut Seksyen 81 (3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Menurut Ibrahim, tiga lelaki yang ditahan berasal dari Senawang dan Rasah Kemayan, manakala dua yang lain dari Putrajaya dan Kota Bharu, Kelantan.

Katanya, pihaknya menyita enam kereta iaitu dua Proton Satria dan masing-masing sebuah Proton Wira, Nissan GTR, Proton Waja dan Proton Iswara mengikut Seksyen 64 (1) APJ 1987.

“Selepas disoal siasat, kelima-lima lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis. Pihak kami ingin menasihatkan pemandu kereta supaya tidak berlumba di jalan awam kerana membahayakan pengguna kenderaan yang lain,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menahan empat lelaki berikutan berlumba kereta di lokasi yang sama pada 18 November lalu.

“Jalan Persiaran Teknologi 5 ini sering dijadikan sasaran pemandu untuk berlumba. Keadaan ini amat berbahaya kerana laluan sempit dan mereka biasanya berlumba hanya berjarak 500 meter,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 7:43 PM
ANGGOTA polis membuat pemeriksaan di Jalan Persiaran Teknologi 5, Bandar Enstek, Nilai, hari ini. Antara lelaki dan kenderaan yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan (gambar kanan). FOTO Ihsan PDRM
ANGGOTA polis membuat pemeriksaan di Jalan Persiaran Teknologi 5, Bandar Enstek, Nilai, hari ini. Antara lelaki dan kenderaan yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan (gambar kanan). FOTO Ihsan PDRM