LAPORAN portal berita Harian Metro mengenai kejadian gempa bumi dan tsunami yang melanda Sulawesi, hari ini.
LAPORAN portal berita Harian Metro mengenai kejadian gempa bumi dan tsunami yang melanda Sulawesi, hari ini.
Mohd Husni Mohd Noor


KEMENTERIAN Luar mengesahkan setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan mengalami kecederaan atau terkesan secara langsung akibat kejadian gempa bumi di Sulawesi Tengah, Indonesia, hari ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan, Kementerian Luar berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan Konsul Kehormat di Makassar sudah menghubungi pelajar Malaysia yang berada sekitar Makassar, Indonesia bagi memastikan keselamatan mereka.

Menurutnya, rakyat Malaysia diminta supaya sentiasa tenang dan terus mengikuti berita tempatan untuk mengetahui perkembangan terkini berikutan masih terdapat beberapa gempa susulan.

“Rakyat Malaysia di sekitar Sulawesi Tengah yang memerlukan bantuan konsular diminta menghubungi pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerusi emel [email protected]/ [email protected] atau nombor telefon +62 813 8081 3036,” katanya.

Gempa bumi dengan kekuatan berukuran 7.7 magnitud dilaporkan melanda Donggala, Sulawesi Tengah, Indonesia pada 5.02 petang (waktu tempatan).

Setakat ini, pihak berkuasa tempatan mengesahkan hanya seorang mangsa meninggal dunia manakala 10 yang lain cedera.

Gempa itu turut mengakibatkan keruntuhan dan kerosakan rumah dan bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 11:48 PM