Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Ibu bapa perlu mempunyai pengetahuan teknologi Internet untuk memantau penggunaan gajet dan telefon pintar anak bagi mengelakkan mereka terjebak gejala negatif termasuk pornografi.

Hasil tinjauan wartawan Harian Metro dengan menemu bual ibu bapa di sekitar ibu kota mendapati ramai membenarkan anak menggunakan dan memiliki gajet serta telefon pintar.

Tindakan terbabit mendedahkan anak mereka kepada pornografi sekiranya tiada kawalan dan pemantauan ibu bapa.

Peniaga Mohd Azlan Ismail berkata, ibu bapa perlu memahirkan diri dengan penggunaan teknologi maklumat bagi memudahkan mereka memantau aktiviti anak sewaktu menggunakan kemudahan Internet.

“Sekiranya ibu bapa tiada pengetahuan dan tidak mahir menggunakan teknologi, pasti sukar untuk mereka mengawal dan melihat aktiviti yang dilakukan anak sewaktu menggunakan komputer, gajet dan telefon pintar yang mempunyai akses jaringan Internet.

“Jadi, ibu bapa perlu belajar dan memahirkan diri dengan penggunaan teknologi maklumat. Perkara itu bukanlah sukar kerana semua maklumat boleh diperoleh di hujung jari saja dengan kemudahan teknologi Internet,” kata bapa kepada tiga anak itu, semalam.

IBU bapa perlu memahirkan diri dengan teknologi Internet bagi memantau penggunaan gajet anak.
IBU bapa perlu memahirkan diri dengan teknologi Internet bagi memantau penggunaan gajet anak.

Mohammad Abdullah, 42, berkata, ibu bapa boleh mengawal anak dengan kemudahan perisian yang boleh dimuat turut menerusi gajet dan telefon pintar yang dikhaskan bagi menapis jaringan akses kepada laman web tidak bermoral.

“Sekiranya mereka benarkan anak gunakan gajet dan telefon pintar, mereka perlu membuat kawalan dan pemantauan.

“Langkah ini boleh dilakukan menggunakan perisian dan aplikasi yang disediakan khas kepada ibu bapa untuk mengawal penggunaan gajet dan telefon pintar anak mereka seperti Parental Control, Kid Mode dan Kid YouTube.

“Beberapa syarikat telekomunikasi turut menyediakan tapisan untuk ibu bapa menyaring penggunaan Internet sekiranya tidak mahu anak mereka mengakses kepada laman pornografi dan keganasan,” katanya.

Sementara itu, Hisham Ros Hashim bersama isterinya, Rafizah Abdul Rahim berkata, ibu bapa perlu mengetahui kata laluan gajet dan telefon pintar anak bagi membolehkan mereka melakukan pemeriksaan terhadap kandungan yang disimpan dalam alat peranti itu.

“Sebagai ibu bapa, kami akan memeriksa gajet dan telefon milik anak untuk mengetahui kegiatan dilakukan mereka terutama dalam menggunakan media sosial dan aplikasi sembang.

“Jadi, kami dapat mengetahui apa yang dimuat naik anak di media sosial dan dengan siapa mereka selalu berhubung serta apa yang diakses mereka.

“Kami juga menggunakan kemudahan disediakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia iaitu Alat Kawalan Ibu Bapa.

“Alat ini membolehkan ibu bapa memantau dan menapis kandungan Internet serta menyediakan satu lapisan keselamatan kanak-kanak,” katanya.

Kelmarin, akhbar Harian Metro melaporkan kajian dilakukan Pensyarah Psikologi Universiti Sunway Meng Zhen Lim mendedahkan lebih 29 peratus daripada 160 responden menonton pornografi sebelum umur 12 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 11:00 AM