PEGAWAI JTKWPKL menyoal siasat pekerja warga asing yang tinggal di dalam kontena di kawasan pembinaan lebuh raya di Kuala Lumpur. FOTO ihsan JTKWPKL.
PEGAWAI JTKWPKL menyoal siasat pekerja warga asing yang tinggal di dalam kontena di kawasan pembinaan lebuh raya di Kuala Lumpur. FOTO ihsan JTKWPKL.
Fazrik Kamarudin


TINGGAL di dalam kontena, gaji tidak dibayar dan tidak diberikan cuti kelepasan am.

Itu antara penindasan dilakukan terhadap pekerja warga asing projek pembinaan jajaran lebuh raya oleh majikan mereka.

Perkara itu terbongkar susulan Ops Patuh dijalankan Jabatan Tenaga Kerja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JTKWPKL) di kawasan pembinaan jajaran lebuh raya di Kuala Lumpur, semalam.

Operasi disertai 12 pegawai JTKWPKL itu bermula pada 11 pagi dan tamat pada 4 petang.

Pengarah JTKWPKL, Asri Abdul Wahab, berkata pihaknya membuka kertas siasatan terhadap majikan selepas mengesan beberapa kesalahan dilakukan mereka.

“Antara kesalahan mengikut Akta Kerja 1955 adalah gagal mendaftar perniagaan di bawah Seksyen 63A, gagal melaporkan penggajian pekerja asing di bawah Seksyen 60K dan gagal memberikan Kontrak perkhidmatan di bawah Peraturan 8, Peraturan Kerja 1957.

“Selain itu, majikan didapati membayar gaji secara tunai kepada pekerja, gagal mematuhi bayaran kerja pada hari rehat dan gagal memberikan cuti kelepasan am.

“Kertas siasatan dibuka di atas setiap kesalahan untuk tujuan pendakwaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Asri berkata, pihaknya akan meneruskan serbuan dan operasi di bawah Ops Patuh bagi mengesan dan melakukan pencegahan awal sebarang pelanggaran undang-undang perburuhan.

Beliau berkata, Ops Patuh akan dijalankan sehingga 7 September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Julai 2018 @ 6:42 PM