Zul Ikhwan Muhammad


JABATAN Taman Laut Malaysia Johor (JTLMJ) menafikan dakwaan serangan obor-obor merah di sekitar perairan negeri ini yang tersebar di media sosial, sejak beberapa hari lalu.

Menurut laman rasmi Facebook (FB) JTLMJ, laporan itu tidak benar.

“Jabatan juga menafikan ada mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya tidak mengunjungi serta mandi di pantai di Mersing dan Sedili,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan jabatan berikutan kekeliruan dan kegusaran banyak pihak selepas berita palsu berkenaan tersebar dalam kalangan penduduk daerah itu.

JTLMJ juga menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai untuk mendapatkan kesahihan berita tersebut.

Sebelum ini, tersebar kononnya amaran dikeluarkan JTLMJ dan pihak hospital berkaitan serangan obor-obor merah di beberapa pantai termasuk yang menjadi tumpuan orang ramai.

Laporan itu turut mendakwa kononnya pengarah Taman Laut dan pengarah hospital sudah melakukan kajian di lokasi serangan tersebut dan mendapati terdapat fenomena obor-obor merah berbisa.

Selain itu, ia mendakwa seorang mangsa wanita dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 12:26 PM