Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Rafi Mamat


JABATAN Perikanan Pahang mengesan terdapat obor-obor api atau Portuguese Man O War di tiga pantai utama yang terkenal sebagai pusat perkelahan di Kuantan.

Tiga pantai itu ialah Pantai Pelindung, Pantai Cempaka dan Pantai Balok yang menjadi lokasi tumpuan utama menangkap ikan dan aktiviti mandi dalam kalangan pelancong tempatan mahupun luar negara.

Pengarahnya Abdullah Jaafar berkata, pihaknya difahamkan terdapat nelayan pantai di daerah itu yang terkena obor-obor api ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di laut sebelum ini.

Menurutnya, nelayan mendakwa obor-obor api itu banyak terdapat di perairan daerah ini hingga menimbulkan kebimbangan golongan terbabit setiap kali turun ke laut.

Bagaimanapun katanya, nelayan yang terkena racun obor-obor api tidak mendapatkan rawatan di klinik ataupun hospital sebaliknya mereka menggunakan kaedah rawatan tradisional yang dianggap berkesan dan menjimatkan.

“Saya difahamkan antara penawar yang digunakan ketika terkena obor-obor api ketika menangkap ikan di laut ialah dengan menyapu air kencing individu terbabit di tempat terkena racun hidupan itu.

“Sampai darat mereka akan membasuh dengan air suam bagi membunuh kuman,” katanya pada Program Save Our Sea di Pangkalan Nelayan myKP Kampung Baru Beserah, di Kuantan.

Seramai 100 kakitangan Jabatan Perikanan Pahang dan nelayan mengadakan aktiviti gotong-royong membersih kawasan pantai dan lebih 500 kilogram pelbagai jenis sampai dikumpul.

Beliau berkata, pengunjung pantai yang terjumpa obor-obor api dinasihatkan supaya tidak memegangnya sebaliknya memaklumkan kepada Jabatan Perikanan Pahang atau Pejabat Perikanan Daerah.

Abdullah berkata, kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan akan dilakukan dengan menyediakan notis amaran terhadap bahayanya obor-obor api di kawasan pantai sekiranya keadaan memerlukan.

Menurutnya, pertukaran maklumat dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan yang melakukan kajian hidupan laut akan dilakukan secara berterusan.

Sementara itu beliau berkata, program Save Our Sea yang diadakan bertujuan memupuk kesedaran masyarakat setempat untuk menjaga kebersihan kawasan pantai serta laut daripada pencemaran sampah seperti plastik untuk mewujudkan ekosistem perikanan yang lebih sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 9:52 AM