ANGGOTA APM meminta pengunjung pantai berhati-hati ketika mandi di Pantai Puteri.
ANGGOTA APM meminta pengunjung pantai berhati-hati ketika mandi di Pantai Puteri.
Hassan Omar

JABATAN Perikanan negeri menafikan ratusan obor-obor kononnya 'menyerang' Pantai Puteri, Tanjung Kling, Melaka seperti tular di laman sosial sejak kelmarin.

Pengarahnya, Fauzi Solehan menegaskan, sejurus selepas kononnya 'serangan' itu tular dalam Facebook, beberapa pegawai jabatan itu menjalankan siasatan di pantai Kampung Pengkalan Perigi, Pantai Jaring dan Pantai Rombang yang menjadi sebahagian daripada keseluruhan Pantai Puteri sepanjang lima kilometer.

"Tidak ada ratusan obor-obor atau lebih dikenali dalam kalangan nelayan sebagai ampai-ampai di Pantai Puteri tetapi berdasarkan penelitian jabatan dan maklum balas daripada nelayan, memang ada ampai-ampai di tepi pantai kerana memburu geragau.

"Ampai-ampai dikesan berada di tepi pantai pada musim angin selatan yang bertiup dari Jun hingga September setiap tahun kerana memburu geragau untuk dimakan tetapi tiada ratusan ampai-ampai seperti yang tular dalam laman sosial berlaku di pantai itu," katanya di Melaka, hari ini.

Beliau mengulas tindakan pemilik akaun Facebook membuat hantaran kononnya ratusan obor-obor dikesan di Pantai Puteri dan meminta orang ramai supaya tidak mandi di pantai berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Bahagian Operasi dan Latihan APM Melaka Tengah, Leftenan Mohd Kamil Hassan berkata, beliau dan beberapa anggota APM yang membuat rondaan di pantai berkenaan, Ahad lalu memberikan rawatan awal kepada lapan kanak-kanak yang terkena sengat obor-obor.

"Lapan kes pengunjung pantai terkena sengat obor-obor dicatatkan dari 10 hingga 12 tengah hari Ahad lalu di pantai berkenaan tetapi tidak ada ratusan obor-obor terdampar di pantai seperti yang tular dalam laman sosial.

"Kebanyakan yang terkena sengatan itu hanya pada tangan dan kaki dan tidak membabitkan kecederaan serius," katanya.

Beliau berkata, pengumuman berkenaan dibuat bagi meminta pengunjung naik ke darat, sekali gus mengelak daripada terkena sengat haiwan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika mandi manda di pantai dan sentiasa mematuhi peringatan diberikan agensi berkenaan bagi memastikan keselamatan mereka sentiasa terpelihara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 11:54 AM