Anggota AADK membawa suspek yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam Ops Cegah. FOTO Ihsan AADK
Anggota AADK membawa suspek yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam Ops Cegah. FOTO Ihsan AADK
Poliana Ronnie Sidom

MENDAKWA ‘dianiaya’ sebelum bertindak agresif sehingga bergelut dengan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ketika cuba digari.

Bagaimanapun lelaki berusia 33 tahun yang pertama kali ditahan dalam Ops Cegah dilaksanakan AADK Sandakan di Kampung Gas, Batu Sapi di Sandakan, kelmarin terpaksa mengalah apabila keluarganya turut menasihatkan suspek agar menyerah diri.

Operasi yang diadakan di tiga lokasi menahan empat suspek berusia antara 19 hingga 40 tahun termasuk seorang wanita.

Ketua Pegawai AADK Daerah Sandakan, Aisyah Abdul Karim berkata, dua lagi lokasi ialah Kampung Tinusa 2 dan Batu 10, dengan operasi membabitkan lima anggota.

Katanya, pemeriksaan awal pihaknya turut mendapati semua suspek positif dadah menerusi ujian saringan dilakukan.

“Semua suspek pertama kali ditangkap oleh AADK, namun dipercayai sudah lama menjadi penagih.

“Mereka ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah, Rawatan dan Pemulihan 1983,” katanya ketika dihubungi di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 9:14 AM