PEGAWAI AADK menyoal siasat gadis yang ditahan selepas disyaki menagih syabu di di Kampung Sri Pandan Petagas, Putatan di Kota Kinabalu pada tengah malam tadi.
PEGAWAI AADK menyoal siasat gadis yang ditahan selepas disyaki menagih syabu di di Kampung Sri Pandan Petagas, Putatan di Kota Kinabalu pada tengah malam tadi.
Juwan Riduan

GADIS bawah umur antara tujuh individu yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sri Pandan Petagas, Putatan di Kota Kinabalu pada tengah malam tadi.

Operasi yang bermula pada 9 malam dan berakhir 3 pagi itu turut menahan tiga lelaki lain di tiga lokasi sekitar Putatan dan Petagas.

Ketua AADK Kota Kinabalu Lawrence Galleh berkata, seramai 10 anggota dan pegawai AADK melakukan serbuan di sebuah rumah yang dijadikan ‘port' penagih dadah itu.

"Ketika serbuan terdapat enam lelaki dan seorang perempuan berada di ruang tamu dipercayai sedang menghisap syabu.

"Mereka cuba melarikan diri tetapi gagal selepas rumah berkenaan dikepung anggota AADK,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Lawrence berkata, semua yang ditahan itu kemudiannya dibawa ke pejabat AADK Kota Kinabalu untuk tindalan lanjut.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati semua mereka termasuk gadis berusia 16 tahun itu positif methamphetamine atau syabu.

"Gadis berkenaan juga dipercayai dibawa oleh seorang daripada lelaki berkenaan dan baru selesai menghisap syabu.

“Dia mengaku mula menghisap syabu sejak tahun lalu selepas pengaruh rakan lelakinya itu," katanya.

Menurutnya, semua yang ditahan berusia 16 hingga 40 tahun dan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 4:05 PM