DIJEMPUT ke jamuan hari raya di rumah rakyat Malaysia yang menetap di Abu Dhabi.
DIJEMPUT ke jamuan hari raya di rumah rakyat Malaysia yang menetap di Abu Dhabi.
BERJOGING di tepi pantai.
BERJOGING di tepi pantai.
Suliman Abd Lah

Benarlah kata orang, penantian itu suatu penyeksaan. Nyata menunggu kelulusan visa haji daripada Kedutaan Arab Saudi amatlah menguji kesabaran.

Setiap hari yang berlalu, bagaikan menanti sepucuk surat cinta daripada kekasih.

Saya cuba mendapatkan bantuan daripada Kedutaan Malaysia di Abu Dhabi untuk memohon visa dari sini, namun tidak berjaya kerana saya tidak menetap dan bekerja di situ.

Kini, saya sedang mendapatkan bantuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melalui Pejabat Perdana Menteri di Malaysia untuk berurusan dengan Lembaga Tabung Haji dan Kedutaan Arab Saudi di Malaysia.

Selain peraturan ketat, tempoh permohonan mengambil masa lama kerana sebelum ini tiada rakyat Malaysia bersendirian menunaikan haji ke Makkah dengan berbasikal.

Buat masa ini, saya mengisi masa lapang dengan memenuhi jemputan jamuan raya rumah terbuka rakyat Malaysia yang menetap di Abu Dhabi.

Sedikit sebanyak ia mengubat kerinduan saya terhadap tanah air terutama masakan isteri tercinta.

Saya juga memperbanyakkan ibadah sambil mengamalkan diet seimbang selepas berat badan menurun sebanyak 10 kilogram.

Di samping itu, saya juga melakukan aktiviti renang, senaman di gimnasium, berjoging dan berbasikal.

Alhamdulillah, saya bernasib baik semua aktiviti itu tidak memerlukan perbelanjaan, malah pihak gimnasium juga tidak mengenakan bayaran walaupun saya diselia tenaga pengajar terlatih.

Pastinya, latihan dan aktiviti senaman ini sangat penting membantu saya meningkatkan stamina dan menguatkan kembali otot badan yang lemah.

Ia juga dapat membantu mengawal pernafasan, meningkatkan kualiti tidur, kesihatan jantung, pembuluh darah, paru-paru, mencegah tekanan dan meminimumkan risiko kecederaan.

Pelbagai ikhtiar sudah dilakukan, kini saya hanya mampu bertawakkal kepada Allah SWT.

Doakan semoga urusan saya meneruskan kayuhan dan menunaikan ibadah haji di Tanah Suci kali ini dipermudahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 9:24 AM