EWAN (dua dari kiri) bersama rakan-rakan Call Man di Taman Sri Rampai, Wangsa Maju.
EWAN (dua dari kiri) bersama rakan-rakan Call Man di Taman Sri Rampai, Wangsa Maju.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati apabila didatangi individu memperkenalkan diri sebagai perunding penyelenggaraan kenderaan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

Difahamkan individu berkenaan menyasarkan pemilik kenderaan mengalami kerosakan dengan mengenakan caj jauh lebih tinggi berbending hari biasa sekali gus menyebabkan pengguna terbeban dan teraniaya.

Taktik mendapatkan untung segera digunakan pihak tidak bertanggungjawab itu didedahkan Presiden Persatuan Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) Mohammad Hisham Shafie.

Mohammad Hisham berkata, pengguna juga disyorkan menghantar kenderaan mereka untuk dibaiki di bengkel tertentu sebelum dikenakan bayaran tinggi.

“Ada juga dalam kalangan mereka ini sebenarnya pemilik bengkel persendirian yang mahu cari makan ketika musim perayaan. Perkara itu tak mengapa cuma ada segelintir yang mengambil kesempatan keatas pengguna ketika itu berdepan masalah.

“Sudahlah kenderaan mengalami kerosakan atau terbabit kemalangan kumpulan ini pula datang untuk buat untung mudah. Perbuatan ini secara tidak langsung, menjejaskan imej dan reputasi bengkel lain,” katanya.

Beliau berkata, pengguna sebenarnya mempunyai hak mendapatkan khidmat terbaik di mana-mana bengkel yang bertauliah dan disyorkan tanpa perlu mengikut telunjuk pihak ketiga.

“Ini demi keselesaan pengguna sendiri. Jadi saya sarankan, mereka berhubung dengan pengendali lebuh raya atau panel insurans jika kenderaan mengalami kerosakan termasuk akibat terbabit kemalangan jalan raya.

“Kaedah ini paling selamat bagi mengelakkan daripada diperdaya. Sebelum ini pun kerap berlaku kejadian seperti ini. Kereta rosak, kemudian datang penunda dan dibawa ke bengkel.

“Selepas dibaik pulih dalam tempoh tertentu, pemilik kenderaan tak puas hati, jadi lebih baik pastikan semak terlebih dulu dengan pihak berwajib sebelum setuju menerima apa juga perkhidmatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 12:35 PM