Audrey Dermawan


KEMENTERIAN Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat (KWKPM) akan meletakkan kanak-kanak perempuan 11 tahun yang berkahwin dengan peraih getah 41 tahun di bawah jagaan pihak berkuasa sekiranya kedua-duanya gagal mengemukakan dokumen perkahwinan yang sah.

Setiausaha Politik kepada Menteri KWKPM Rodziah Ismail, berkata, ketika ini pihak berkuasa turut mencari bukti yang mengesahkan perkahwinan berkenaan berlaku, seperti yang dilaporkan media dan keluarga terbabit.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang bekerjasama dengan kerajaan Thailand untuk mendapatkan maklumat dan dokumentasi terhadap pernikahan yang dipercayai diadakan di sebuah masjid di Mundok, Sungai Golok.

“Ketika ini kita hanya mendengar laporan saja tetapi tiada rekod untuk membuktikan kewujudan perkahwinan berkenaan.

“Kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa di Yala dan selatan Thailand untuk mengetahui di mana sebenarnya pernikahan itu diadakan,” katanya selepas mengunjungi pejabat EXCO Wanita, Keluarga, dan Pembangunan Masyarakat, Chong Eng di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rodziah berkata, sekiranya perkahwinan itu tidak diadakan secara sah, pihak berkuasa akan meletakkan kanak-kanak perempuan itu di bawah jagaan mereka dan menyiasat latar belakang keluarga kanak-kanak berkenaan.

Katanya, suami kanak-kanak itu juga akan berhadapan dengan tindakan undang-undang kerana mengadakan perkahwinan haram.

“Kita akan beri mereka masa untuk menyediakan bukti perkahwinan itu.

“Semua perkahwinan, sama ada dilakukan di dalam atau di luar negara mesti didaftarkan secara sah di bawah undang-undang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, perkahwinan antara seorang peraih getah berusia 41 tahun dengan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun tular selepas isteri kedua memuat naik status di Facebook miliknya.

Perkahwinan itu mendapat perhatian kerana lelaki itu berkahwin buat kali ketiga dengan kanak-kanak di bawah umur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 7:32 PM