PERAIH getah berusia 41 menunjukkan gambar pernikahannya dengan kanak-kanak warga Thailand berusia 11 tahun. FOTO Ramli Ibrahim
PERAIH getah berusia 41 menunjukkan gambar pernikahannya dengan kanak-kanak warga Thailand berusia 11 tahun. FOTO Ramli Ibrahim
Nor Fazlina Abdul Rahim & Ramli Ibrahim


“WALAUPUN ramai yang menentang perkahwinan ini, namun saya tidak akan lepaskan isteri ketiga hanya kerana desakan pelbagai pihak.

"Apa yang pasti perkahwinan saya sah di sisi agama walaupun salah dari segi undang-undang," tegas peraih getah berusia 41 tahun ketika mengulas perkahwinan dengan isteri ketiganya berusia 11 tahun yang dikatakan tidak sah.

Bapa kepada enam cahaya mata yang bekerja sebagai peraih itu berharap, isu perkahwinannya itu tidak terus diperbesarkan kerana mereka mahu menjalani kehidupan seperti biasa.

“Walaupun kisah saya menjadi bualan seluruh negara dan saya akui turut tertekan dengan situasi itu, namun kehidupan saya berjalan seperti biasa termasuk menjadi imam di surau di kampung.

“Orang kampung yang sudah mengetahui kisah sebenar tidak memandang sinis langsung kepada kami, hanya orang luar sahaja yang terkejut dengan isu ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dia berkata, isteri ketiganya juga tidak terkesan dengan apa yang berlaku kerana yang penting perkahwinan mereka sah di sisi Islam.

“Kami sudah dipanggil pihak polis untuk memberi kenyataan dan pihak kerajaan negeri juga memaklumkan akan berjumpa saya di Gua Musang, hari ini.

“Jadi, saya akan mendapatkan nasihat pihak kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum tindakan diambil termasuk mendaftarkan perkahwinan saya,” katanya.

Menurutnya, sejak perkahwinan dengan kanak-kanak itu, dia belum berjumpa dengan isteri keduanya yang menyebarkan berita perkahwinan ketiga lelaki itu di Facebook, kerana mahu memberi ruang kepada wanita itu yang masih marah.

“Saya tidak mahu berlaku kejadian tidak diingini sekiranya bertemu dengan isteri kedua dalam keadaan marah. Namun hubungan saya dengan isteri ketiga tiada masalah,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam memaklumkan perkahwinan lelaki itu dengan isteri ketiganya tidak sah dan mesti dipisahkan.

Katanya, perkahwinan itu tidak sah dari segi undang-undang kerana perkahwinan itu tidak mendapat kelulusan mahkamah untuk bapa kanak-kanak itu mewalikan anaknya dan menjadi isteri kepada orang yang lebih tua.

Di bawah Enakmen Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri, usia minimum bagi lelaki untuk berkahwin adalah 18 tahun manakala bagi perempuan adalah 16 tahun.

Sementara itu, kanak-kanak terbabit berkata, dia tetap setia menunggu lima tahun lagi bagi mencapai umur 16 tahun untuk tinggal bersama suami.

"Saya berulang kali menyatakan bahawa tidak akan berpisah," katanya.

Menurutnya, hubungannya bersama dua madu, isteri pertama dan kedua suaminya semakin erat selepas berita mengenai perkara itu diketahui umum.

"Hampir setiap masa saya berhubung dengan dua madu melalui WhatsApp dan bertambah mesra.

"Mereka berdua tanya saya adakah saya benar-benar sayang kepada suami kami dan saya jawab seikhlas hati amat menyayanginya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 12:59 PM